Irfan Bakti demam, bukan sengaja hilangkan diri

BEKAS pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim meminta tempoh bertenang sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung keputusan mengejut meletak jawatan sebagai ketua jurulatih TFC.

Menurut isterinya yang enggan didedahkan namanya, Irfan bukannya mengelak daripada media tetapi beliau mengalami demam sejak semalam.

Bagaimanapun keadaannya stabil selepas menerima rawatan.

“Selain demam, Irfan mengalami muntah. Dia hanya berbaring. semalam dia berpuasa tetapi terpaksa makan ubat, hari ini selepas mendapat nasihat doktor.

“Beliau tak larat nak jawab panggilan atau pun mesej kerana mahu berehat.

“Saya harap semua faham keadaannya bukannya kerana dia sombong. Mungkin esok atau lusa suami saya kembali pulih seperti biasa,” ujarnya.

Isteri Irfan mengharapkan peminat setia mendoakan kesihatan suaminya agar cepat sembuh.

Dalam mesyuarat khas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang juga mesyuarat bedah siasat pasukan, semalam susulan prestasi tidak konsisten TFC, Irfan mengambil keputusan mengejut mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih berkuat kuasa serta merta.

Walaupun berat untuk menerima keputusan mengejut jurulatih itu, Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil menyatakan mereka menghormati dan bersetuju dengan keputusan jurulatih berusia 67 tahun itu.

Susulan keputusan mengejut Irfan itu, PBSNT melantik penolong jurulatih, Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih sementara dengan dibantu Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar.

Sementara itu, Mohamad yang masih terkejut dengan keputusan ketuanya itu tetap menghormati pendirian Irfan biarpun pernah membentuk gandingan tiga serangkai bersama Kamaruddin bermula ketika membimbing FELDA United lagi.

“Tadi saya menziarahi Irfan di rumahnya di Kampung Ladang, keadaannya stabil tetapi memohon maaf dan mahu berehat kerana masih demam,” ujar Mohamad.



Sumber: kulihatlangitbiru.com