Ilham Amirullah perlu konsisten


KUALA TERENGGANU: Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Muhamad Ilham Amirullah Razali membuktikan dirinya belum 'berkarat' sekali pun sudah lama tidak mengawal gawang pasukan berikutan persaingan sihat  rakan sepasukan Suffian Abd Rahman dan Wan Azraie Wan Teh.

Malah prestasi bekas penjaga gawang Harimau Muda itu dilihat semakin meningkat selepas memperagakan aksi cemerlang ketika diturunkan bertemu FELDA United pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Ia diakui penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik yang merumuskan bekas penjaga Negeri Sembilan musim lalu yang pernah menyarung jersi FELDA dan T-Team itu mempunyai pakej yang cukup untuk bergelar pemain berkualiti.

"Biarpun sudah lama tidak beraksi tetapi persembahan penjaga itu tidak mengecewakan pasukan, dia bertindak cemerlang dengan berjaya menafikan beberapa percubaan tepat pasukan lawan ketika bertemu FELDA.

"Jika dia (Ilham) mengekalkan persembahan terbaiknya itu, kemungkinan kita akan beri peluang kepadanya menentang Selangor pada Jumaat ini di Kuala Terengganu.

"Bagaimanapun pemain itu harus konsisten dalam latihan selain perlu menggandakan usaha bagi mengelak gawang gol ditembusi pemain Selangor," kata Mohamad.

Ketika bertemu skuad The Fighters, penjaga gol berusia 24 tahun kelahiran Kampung Tersusun Rantau Panjang, Dungun itu bertindak cemerlang dengan tangkas menidakkan percubaan lawan.

Namun dua minit sebelum masa sebenar tamat, pemain itu melepaskan satu gol sekali gus meranapkan impian skuadnya mengutip mata penuh selepas sekadar seri 1-1. - Berita Harian