Iktibar Dari Peristiwa Penghancuran Berhala


Soalan:
Bolehkah ceritakan dengan serba ringkas tentang peristiwa penghancuran berhala dan pengajaran yang kita boleh ambil daripada peristiwa tersebut?

Jawapan:

Latar Belakang Peristiwa

Antara catatan kemenangan Islam yang berlaku di bulan Ramadhan ialah peristiwa penghancuran berhala yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW bersama dengan para-para sahabat Baginda RA. Peristiwa ini berlaku setelah umat Islam memperoleh kemenangan yang besar dalam sejarahnya dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah (Fath Makkah) iaitu pada 20 Ramadhan tahun ke-8 hijrah bersamaan bulan Januari tahun 630M. (Rujuk al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadwi: 338)

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Yusuf RA bahawa Ibn ‘Abbas RA berkata kepadanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَزَا غَزْوَةَ الْفَتْحِ فِي رَمَضَانَ‏
“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berperang dalam peperangan Pembukaan Kota Mekah (Fath Makkah) pada bulan Ramadhan.” [Riwayat al-Bukhari: (4275)]

Selepas Rasulullah SAW berjaya membuka kota Mekah, Baginda SAW meneruskan usaha untuk membersihkan dan memuliakan Kaabah daripada segala perbuatan kekufuran dan syirik kepada Allah SWT. Rasulullah SAW menghancurkan berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah. Jumlah berhala yang ada di sekitar Kaabah itu dianggarkan lebih kurang 360 buah. Nabi Muhammad SAW memukul setiap daripada berhala tersebut dengan tongkat yang berada di tangan Baginda SAW sambil membacakan ayat 81, Surah al-Isra’ dan ayat 49, Surah al-Saba’. (Rujuk Zad al-Ma’ad fi Hady Khair al-‘Ibad: 358)

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah RA, beliau berkata:

دَخَلَ النَّبِيُّ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ مَكَّةَ يَوْمَ الْفَتْحِ وَحَوْلَ الْبَيْتِ سِتُّونَ وَثَلاَثُمِائَةِ نُصُبٍ، فَجَعَلَ يَطْعُنُهَا بِعُودٍ فِي يَدِهِ وَيَقُولُ :‏ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ، جَاءَ الْحَقُّ، وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ
“Nabi SAW memasuki kota Mekah pada hari pembukaan kota Mekah (Fath Makkah) dan di sekeliling Kaabah terdapat 360 buah berhala. Baginda kemudiannya menghancurkannya dengan tongkat yang berada di tangannya seraya mengucapkan firman Allah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.” [Riwayat al-Bukhari: (4287)]

Selepas selesai tawaf sambil menaiki tunggangan, Baginda SAW menyuruh Uthman Ibn Talhah untuk membuka pintu Kaabah lalu Baginda SAW masuk kedalamnya. Di dalam Kaabah tersebut, Baginda SAW melihat banyak lukisan-lukisan. Antaranya, Baginda SAW melihat gambar lukisan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang sedang membahagi-bahagikan anak panah untuk menilik nasib. Rasulullah SAW bersabda:

قَاتَلَهُم اللهُ وَ اللهِ إِن اسْتَقْسَمَا بِهَا قَطٌّ
“Semoga Allah SWT menghancurkan mereka. Demi Allah, mereka berdua (Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS) tidak pernah membahagi-bahagikan panah untuk menilik nasib!”


Di dalam Kaabah juga, Baginda SAW melihat patung seekor burung merpati yang diperbuat daripada batang kurma. Baginda SAW menghancurkannya dengan tangannya dan mengarahkan supaya dimusnahkan semua gambar-gambar yang ada di dalam Kaabah tersebut. (Rujuk Zad al-Ma’ad fi Hady Khair al-‘Ibad: 358)

Rasulullah SAW menghantarkan utusan Baginda SAW bagi menghancurkan berhala-berhala yang ada di kawasan berhampiran Kaabah. Ada seorang yang menyeru dengan lantang dan menyebutkan:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَ اليَوْمِ الاْخِرِ فَلَا يَدَعْ فِي بَيْتِهِ صَنَمًا إِلاَّ كَسَّرَهُ
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat, hendaklah dia tidak membiarkan satu berhala pun ada di rumahnya kecuali dia menghancurkannya.”

Semua berhala tersebut dihancurkan oleh para Sahabat termasuklah al-Latta, al-‘Uzza, Suwa’ serta Manat, iaitu berhala termasyhur yang disembah oleh kaum musyrikin Mekah.

Sayyidina Khalid Ibn al-Walid telah menghancurkan al-Latta. Sayyidina ‘Amru al-‘As pula pergi menghancurkan Suwa’ iaitu berhala yang disembah oleh kaum Huzail. Manakala, Sayyidina Saad Ibn Zaid al-Asyhali pergi untuk menghancurkan Manat. (Rujuk Zad al-Ma’ad fi Hady Khair al-‘Ibad: 365)

Iktibar Ppeperangan

1. Allah SWT Akan Tetap Memenangkan Kebenaran Dan Golongan Yang Beriman

Peristiwa ini menunjukkan bahawa Allah SWT tetap akan memenangkan hamba yang beriman kepadaNya dan beramal soleh setelah menguji mereka dengan pelbagai cubaan dan ujian terlebih dahulu. Rasulullah SAW dan para sahabat yang merupakan sebaik-baik umat juga diuji dengan pelbagai kesusahan, menunjukkan bahawa ia adalah lumrah bagi kehidupan seseorang yang beriman. Ujian dan cubaan ini adalah bagi menguji keimanan dan keyakinan kepada janji-janji Allah SWT untuk memberikan kemenangan kepada golongan yang memperjuangkan kebenaran. Sesungguhnya pertolongan Allah SWT itu amat dekat.

Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّـهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّـهِ قَرِيبٌ
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah: 214)

2. Syiar Kebatilan Akan Dilenyapkan Oleh Allah SWT

Melalui peristiwa ini, Allah SWT telah membersihkan kota Mekah daripada segala syiar-syiar kekufuran dan kebatilan yang mencemarinya. Sesungguhnya Allah SWT akan melenyapkan semua syiar kebatilan sehinggalah nyata bahawa yang layak disembah hanyalah Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa. Allah SWT berfirman:

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Surah al-Isra’: 81)

3. Bersabar Dan Percaya Kepada Janji Allah SWT Bukti Keimanan

Golongan yang beriman hendaklah yakin dan percaya kepada janji-janji Allah SWT. Ini kerana Allah SWT sekali-kali tidak akan memungkiri janjiNya dan tidak mensia-siakan usaha mereka yang mengerjakan amal soleh. Ini ialah bukti keimanan kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ وَعْدَ اللَّـهِ حَقًّا ۚ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّـهِ قِيلً
“Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (Surah al-Nisa’: 122)

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media