Ibu Halang Pintu Pesawat Sebab Nak Tunggu Anak Habis Shopping


Seorang ibu warganegara China cuba untuk menghalang anak kapal menutup pintu pesawat Spring Airlines agar anaknya boleh menghabiskan sesi membeli-belah di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok. Seramai 160 penumpang pesawat tersebut terjejas akibat kelakuan beremosi oleh ibu tersebut.

Peristiwa itu telah dirakam dan dimuat naik oleh salah seorang penumpang ke media sosial ‘Douyin’ yang kebanyakannya digunakan di China. Penumpang yang dikenali sebagai ‘Da Meng Ya’ itu mendakwa bahawa seorang penumpang wanita cuba untuk menghentikan pesawat tersebut daripada berlepas dalam perjalanannya dari Bangkok ke Shanghai.

Katanya, anak kepada wanita berkenaan belum sempat sampai di pesawat pada masa itu kerana masih sibuk membeli-belah. Pesawat 9c8892 dijadualkan berlepas pada 3.30 pagi dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi di mana kedai bebas cukai dibuka selama 24 jam.

Peristiwa tersebut disahkan oleh syarikat penerbangan Spring Airlines yang berpangkalan di Shanghai kepada portal berita MailOnline, namun tidak mengesahkan hubungan ibu-anak antara dua penumpang itu serta jantina mereka.

Seorang wakil mendakwa bahawa penumpang yang cuba menghalang anak kapal daripada menutup pintu pesawat itu bertindak dengan penuh emosi. Penerbangan selama empat jam itu ditangguhkan selama 30 minit, sehingga akhirnya kedua-dua penumpang berkenaan bersetuju untuk menyerahkan diri kepada pihak berkuasa.

Pesawat tersebut mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong pada pukul 9.14 pagi, lewat sejam daripada masa yang ditetapkan. Spring Airlines membidas kelakuan mereka yang digambarkan sebagai ‘tidak bertamadun’ mankala netizen China pula menggesa pihak berkuasa dalam sektor pelancongan untuk meletakkan mereka dalam senarai hitam.

China National Tourism Administration (CNTA) pada 2015 melancarkan beberapa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pelancong yang berkelakuan kurang sopan, satu langkah oleh Beijing untuk meningkatkan kesedaran mengenai etika sebagai pelancong.




Sumber: Oh! Media