Hukum Bekerja Di Tempat Membakar Mayat (Cremation)


Soalan:
Apakah hukum bekerja di tempat membakar mayat (cremation)?

Jawapan:
Pengurusan jenazah merupakan satu kewajipan yang harus dilaksanakan kepada setiap mayat Muslim tanpa mengira jantina, umur dan pangkat sebagai satu penghormatan kepada mayat tersebut, selain sebagai satu proses pembersihan dan penyucian daripada sebarang kekotoran. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala al-Mazhab as-Syafi’e, 1996, Darul ‘Ulum al-Insaniyyah, 1/252)

Terdapat 4 langkah yang perlu dilaksanakan menurut tertib dalam pengurusan jenazah:

  • Memandikan jenazah
  • Mengkafankan jenazah
  • Mensolatkan jenazah
  • Mengebumikan jenazah

Kembali kepada persoalan di atas, para ulama' bersepakat bahawa perbuatan membakar mayat merupakan suatu tegahan yang disebutkan dalam hadis Nabi S.A.W. Perkara ini adalah suatu bentuk penyeksaan yang dikenakan ke atas mereka yang telah mati. Diriwayatkan oleh Hamzah al-Aslami RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَّرَهُ عَلَى سَرِيَّةٍ قَالَ فَخَرَجْتُ فِيهَا وَقَالَ إِنْ وَجَدْتُمْ فُلَانًا فَأَحْرِقُوهُ بِالنَّارِ فَوَلَّيْتُ فَنَادَانِي فَرَجَعْتُ إِلَيْهِ فَقَالَ إِنْ وَجَدْتُمْ فُلَانًا فَاقْتُلُوهُ وَلَا تُحْرِقُوهُ فَإِنَّهُ لَا يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلَّا رَبُّ النَّارِ
Rasulullah SAW telah melantiknya untuk mengetuai satu misi ketenteraan (sariyyah). Hamzah al-Aslami berkata: Kemudian aku keluar di antara pasukan tersebut. Baginda bersabda: “Apabila kalian mendapatkan si fulan, maka bakarlah dia dengan api.” Kemudian aku pergi, lalu baginda memanggilku lalu aku kembali kepada baginda. Baginda bersabda: “Apabila kalian mendapatkan si fulan maka bunuhlah dia, dan jangan kalian bakar! Sesungguhnya tidak ada yang boleh menyiksa dengan api kecuali Tuhan Penguasa api.” [Sunan Abu Daud (2299)]

Begitu juga dengan kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي سَفَرٍ فَانْطَلَقَ لِحَاجَتِهِ فَرَأَيْنَا حُمَّرَةً مَعَهَا فَرْخَانِ فَأَخَذْنَا فَرْخَيْهَا فَجَاءَتِ الْحُمَّرَةُ فَجَعَلَتْ تَفْرُشُ فَجَاءَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏"‏ مَنْ فَجَعَ هَذِهِ بِوَلَدِهَا رُدُّوا وَلَدَهَا إِلَيْهَا ‏"‏.‏ وَرَأَى قَرْيَةَ نَمْلٍ قَدْ حَرَّقْنَاهَا فَقَالَ ‏"‏ مَنْ حَرَّقَ هَذِهِ ‏"‏‏.‏ قُلْنَا نَحْنُ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ إِنَّهُ لاَ يَنْبَغِي أَنْ يُعَذِّبَ بِالنَّارِ إِلاَّ رَبُّ النَّارِ"‏.‏
Ketika mana kami bersama dengan Rasulullah SAW dalam permusafiran, Baginda pergi untuk menunaikan hajat. Maka (ketika itu) kami terlihat seekor hummarah (burung yang berwarna merah) yang bersama dua ekor anaknya. Maka kami pun mengambil salah seekor daripada anaknya. Maka Hummarah itu datang mengibas sayapnya (kerana marah anaknya diambil). Kemudian datanglah Nabi SAW, (melihat keadaan itu) Baginda SAW bersabda: “Siapa yang menganggu anak burung ini? Kembalikan kamu semua anaknya kepadanya.” Kemudian Baginda terlihat sarang semut yang telah kami bakar, Baginda SAW bersabda: “Siapa yang membakar ini?” Kami menjawab: “Kami.” Baginda bersabda: “Tidaklah dibenarkan untuk menyiksakan dengan api melainkan pemilik api neraka.” [Sunan Abu Daud (2675)]


Berdasarkan hadith ini, kita fahami bahawa jika membakar binatang pun ditegah, maka mayat manusia seharusnya lebih besar dan berat lagi larangannya. Hal ini kerana Allah SWT telah memuliakan manusia dengan setinggi-tinggi penghormatan, antara lain melalui firman-Nya:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Israa’ (70)]

Kami juga mengqiyaskan perbuatan membakar mayat ini dengan perbuatan mematahkan tulang mayat, yang kedua-duanya ditegah oleh Nabi S.A.W, walaupun jika mendapatinya dalam keadaan reput berdasarkan kepada hadith riwayat Aisyah R.Anha:

حَدَّثَنَا الْقَعْنَبِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ سَعْدٍ يَعْنِي ابْنَ سَعِيدٍ عَنْ عَمْرَةَ بِنْتِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا
“Mematahkan tulang orang yang mati sama seperti mematahkannya ketika dia masih hidup.” [Sunan Abi Daud (2792)]

Kesimpulan

Tuntasnya, kami menyimpulkan bahawa hukum bekerja di pusat membakar mayat ialah haram berdasarkan hadith-hadith yang melarang membakar mayat dan melakukan perkara yang menyakiti mayat. Hal ini demikian kerana tiada yang berhak untuk mengazab seseorang dengan api melainkan Allah SWT, dan perbuatan membakar mayat merupakan satu bentuk azab yang amat dahsyat kepada mayat, selain menyanggahi penghormatan dan kemulian seorang anak Adam. Wallahu a’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media