Selepas setahun memikul tugas sebagai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat gagal mentadbir ekonomi negara sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan bagi menutup kelemahan diri. Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, satu persatu kenyataan yang dikeluarkan Guan Eng sebelum ini tidak mencerminkan Ahli Parlimen Bagan itu sebagai seorang akauntan profesional seperti dicanang oleh DAP.
“Setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah, dasar-dasar ekonomi yang rapuh menyebabkan Malaysia bakal terjerumus ke dalam kegawatan ekonomi yang teruk. Menteri Kewangan juga diperli teruk dek insiden ‘salah titik perpuluhan’ di Dewan Rakyat, apabila dihujani soalan ekonomi negara, alasan sama didendangkan iaitu salah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China.
“Guan Eng harus teliti dalam menyalahkan kerajaan BN kerana fakta perbandingan tidak boleh ditipu dan perang dagangan Amerika Syarikat-China pula kenapa pelabur keluar dari Malaysia dan ringgit semakin lemah sedangkan ekonomi Thailand dan Indonesia semakin mengukuh?. Kenyataan dangkal ini hanyalah ‘jawapan umum’ untuk menutup kegagalan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, tambah Shahir, pengumuman pelaburan langsung asing (FDI) oleh Guan Eng baru-baru ini pula dibuat dengan retorik yang menunjukkan kerajaan PH memperbaiki ekonomi negara sejak pemerintahan BN sedangkan daripada RM21.7 bilion jumlah FDI tersebut sebahagiannya merupakan hasil daripada penjualan aset-aset negara.
“Berdasarkan maklumat diperoleh, daripada sejumlah RM 21.7 bilion, RM 8.4 bilion adalah dari Jepun. RM 3.7 bilion dari Austria dan RM 2.8 bilion dari Hong Kong. Namun, malangnya, RM 8.4 bilion itu merupakan hasil penjualan aset Khazanah kepada Mitsui dan RM 3.7 bilion merupakan hasil penjualan pemilikan 50 peratus saham Sapura Upstream Sdn. Bhd., oleh syarikat Minyak OMV berpangkalan di Austria.
“Adakah penjualan aset-aset negara kita menjadi penanda aras FDI? Jika begitu jawapan beliau, seperti yang dinyatakan di dalam sidang akhbar, maka penjualan aset negara adalah baik dari kaca mata Guan Eng,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau mengajak rakyat berfikir sejenak, adakah penjualan aset utama negara, misalnya Petronas baik untuk negara? tentu tidak kerana penjualan aset menunjukkan negara memerlukan tunai untuk tempoh masa singkat.
Sumber: Oh! Media