JERANTUT – Seorang gadis yang didakwa hilang di sini pada 4 Mei lalu dijumpa dengan selamat di Jerteh, Terengganu kelmarin.
Rossazlin Roslan, 18, dari Kampung Paya Garuk, di sini dijumpai kira-kira pukul 4 pagi dalam keadaan lapar dan demam oleh sebuah keluarga di Terminal Bas Jerteh sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Tok Deh, Jerteh.
Abangnya, Mohamad Rosli, 27, berkata, pakaian yang dipakai oleh adiknya sewaktu dilaporkan hilang Sabtu lalu juga kotor dan keluarga berkenaan memberi pakaian baharu kepadanya.
“Adik saya telah dibawa oleh seorang lelaki dari Jerantut ke Terengganu dan meninggalkannya di dalam rumah kosong sebelum dia ditemui.
“Keluarga berkenaan telah menghantar adik pulang ke rumah petang kelmarin dan kami telah membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut untuk menceritakan keadaan sebenar,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat mengenai kejadian yang menimpa adiknya dan Rossazlin telah dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Jerantut.
“Alhamdullilah, Rossazlin pulang dengan selamat dan kami tidak akan membiarkan kejadian ini berulang lagi,” ujarnya.
Tambahnya, keluarganya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan serta berusaha mencari adiknya sehingga dia ditemui.
Rossazlin dilaporkan hilang pada 4 Mei lalu setelah keluar rumah pada 3.30 petang setelah memberitahu adiknya, Rosmadiyana, 16, bahawa dia ingin ke surau untuk melihat ibu bapanya, Roslan Abdul Razak, 54, dan Wan Noraini Wan Nor, 53, yang sedang memasak untuk kenduri doa selamat.
Ibu bapanya bagaimanapun tidak melihat kelibat Rossazlin di surau dan membuat laporan polis pada hari yang sama. – K! ONLINE
Sumber: kulihatlangitbiru.com