Drawbride dibuka untuk percubaan 2 hingga 17 Jun

KUALA TERENGGANU – Jambatan angkat atau drawbridge yang menjadi mercu tanda ikonik baharu Terengganu, akan dibuka untuk tempoh percubaan iaitu dari 2 Jun hingga 17 Jun ini.

Pembukaan selama 16 hari itu memberi peluang kepada orang ramai memanfaatkan kemudahan itu untuk sementara terutama musim perayaan Aidilfitri pada 5 dan 6 Jun nanti.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya ketika mengesahkan perkara itu berkata, laluan jambatan yang menyediakan empat lorong itu akan ditutup semula pada 17 Jun untuk tempoh tertentu sebelum dijangka dibuka sepenuhnya penghujung bulan ini.

“Drawbridge ini akan dibuka kepada orang ramai untuk percubaan dari 2 Jun hingga 17 Jun dan selepas itu, ia akan ditutup semula.

“Pada 17 Jun, drawbridge ini akan ditutup balik dan kita akan tengok, mungkin akan buka sepenuhnya selepas atau akhir Jun nanti,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu sejurus selesai Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Terengganu (MTNg) di Wisma Darul Iman di sini ini.

Mesyuarat selama kira-kira tiga jam bermula 9 pagi itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang juga Menteri Pembangunan Usahawan.

A. Rahman seterusnya berkata, pada masa ini, mercu tanda ikonik Terengganu itu sudah mencapai 99 peratus siap dan pihak kerajaan negeri sedang bertungkus lumus bagi memastikannya siap sepenuhnya secepat mungkin.

“Sekarang ini kerajaan negeri sedang berusaha untuk siapkan papan tanda jalan raya selain membaiki kerosakan kecil,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com