KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Grab cedera selepas ditembak penumpangnya yang dipercayai warga Indonesia di Jalan FAC Matang, Kuching, Sarawak semalam.
Portal Utusan Borneo melaporkan, sumber berkata, mangsa berusia 46 tahun yang berasal dari Sekama menjemput suspek di Kuching Sentral sebelum ke ladang strawberi di Matang seperti yang diminta suspek.
“Setiba di lokasi kejadian, suspek meminta mangsa memberhentikan keretanya di tepi jalan dengan alasan ingin buang air kecil.
“Bagaimanapun, suspek dikatakan tiba-tiba mengacu senjata dipercayai senapang angin buatan sendiri lalu melepaskan tembakan peluru guli ke arah mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan,” kata sumber.
Menurut sumber, suspek yang tidak berpuas hati telah menyerang mangsa menggunakan senjata dipercayai tukul selepas peluru (guli) senapangnya habis.
Jelasnya, suspek turut bertindak memukul mangsa di kepala sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Denis Leong berkata siasatan masih dijalankan.
“Kita difahamkan suspek melarikan diri di kawasan hutan berdekatan dan usaha menjejakinya sedang giat dijalankan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE
Sumber: kulihatlangitbiru.com