Buruk Umno, buruklah Melayu – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Segala keburukan tingkah laku dan kata-kata yang dilakukan oleh orang UMNO akan memberi tempias kepada masyarakat Melayu.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tuga Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, atas sebab itu ahli-ahli UMNO dinasihatkan supaya berhati-hati dalam setiap tindakan.

Kata beliau, hal itu berlaku kerana ketika ini seluruh rakyat Malaysia sedang memerhati secara rapat pergerakan UMNO semata-mata ingin melihat bagaimana parti ini hendak mengemudi struktur politik, sosial dan kepercayaan apabila tiada kuasa.

“Oleh itu UMNO sebagai wadah orang Melayu terbesar negara harus berhati-hati dalam tindak tanduk kita. Segala buruk UMNO akan memberi tempias pada orang Melayu.

“UMNO bukan hanya parti politik tapi pancaran rohani bangsa Melayu,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-73 dan berbuka puasa di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beberapa pimpinan tertinggi Pas turut kelihatan dalam majlis yang dihadiri 2,200 ahli UMNO dari seluruh negara.

Mereka antaranya Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mahfodz Mohamed dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com