KUALA TERENGGANU – Seramai 12,700 penjawat awam di negeri ini bakal menikmati bayaran bonus sempena Hari Raya Aidilfitri dengan setiap seorang menerima RM400.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, bayaran akan dibuat bersama gaji akhir bulan ini, beberapa hari sebelum Aidilfitri.
Beliau memberitahu, bayaran bonus itu melibatkan kakitangan awam dari Gred 54 ke bawah yang membabitkan peruntukan berjumlah RM5.1 juta.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengumumkan pemberian bonus kepada semua kakitangan awam di Terengganu iaitu seramai 12,700 orang yang akan terima RM400.
“Semua gred dari gred 54 ke bawah akan terima bonus ini ketika gaji akhir bulan ini iaitu sebelum Aidilfitri.
“Ini bermakna semua pekerja sama ada kontrak, adhoc atau tetap akan dapat bonus ini,” katanya.
Menteri Besar menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan program Beyond The Moon: 50th Anniversary Of Moon Landing di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) dekat sini petang ini. – UTUSAN ONLINE
Sumber: kulihatlangitbiru.com