SEORANG bilal muda meninggal dunia ketika sedang melaungkan azan solat Jumaat, semalam.
Amirul Najmie Asrul Leonard, pelajar Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) itu rebah ketika berdiri untuk melaungkan azan kedua Jumaat di Masjid Sungai Panching Selatan.
Menurut teman rapatnya, Muhammad Izzan, Amirul ketika hayatnya sangat menitik beratkan soal agama dan begitu meminati al-Quran.
Arwah juga seorang yang ceria, mudah didedaki dan suka membantu orang yang berada di sekelilingnya.
“Saya rasa tidak perlu saya perkenalkan siapa adinda Amirul ini pada saya. Ramai orang tahu yang dia kawan rapat saya.
“Gambar kami yang beratus-ratus keping, selalu menjadi teman lepak saya, teman bercerita saya, kalau Ramadan biasanya dia akan teman saya ke masjid-masjid tempat saya bertugas imam Tarawih.
“Dia seorang yang sentiasa gigih dalam apa yang dia lakukan. Saya teringat dia selalu minta saya ajar cara mengeluarkan suara yang betul ketika azan. Sehingga dapat, dia usahakan,” katanya menurusi Facebook.
Sementara itu, rakan-rakan arwah Amirul menzahirkan rasa sedih dan mendoakan agar keluarga pemuda itu tabah menerima ketentuan Ilahi.
Sumber: kulihatlangitbiru.com