BAGI memberi kefahaman dan gambaran jelas kepada pengguna, Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr Jasrul Jamani Jamian mengambil inisiatif memuat naik tiga video yang menunjukkan kaedah kiraan tarif elektrik di laman sosial miliknya, pada 26 Mei lalu.
Jasrul Jamani berkata, idea merakam dan memuat naik video berkenaan di laman sosial tercetus berikutan isu kenaikan bil elektrik yang menjadi pertikaian netizen sejak beberapa hari lalu disebabkan penggunaan meter pintar di Melaka dan kelewatan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB ) mengambil bacaan di rumah.
Menurutnya, beliau juga terpanggil untuk menjernihkan keadaan selepas melihat banyak salah faham yang timbul berdasarkan pemerhatiannya terhadap komen ditinggalkan pengguna di laman sosial.
Bagi Jasrul Jamani, tidak timbul isu kenaikan mendadak bil elektrik, sebaliknya ia hanya salah faham membabitkan segelintir pengguna terhadap kenaikan bil elektrik mereka yang mungkin berlaku akibat kesilapan teknikal di pihak TNB.
Katanya, isu ini menjadi hangat apabila penduduk mendakwa bil elektrik mereka menjadi tinggi selepas penukaran kepada meter pintar di Melaka.
“Selepas itu, timbul pula isu apabila kakitangan TNB hadir lewat untuk mengambil bacaan hingga menjadikan jumlah penggunaan elektrik meningkat menyebabkan mereka dikenakan bayaran pada harga blok yang mahal.
“Ramai juga yang menyangka meter digital di rumah mereka adalah jenis pintar seterusnya menganggap penggunaan alat itu memberi kesan kepada jumlah bil bulanan, walaupun hakikatnya tidak.
“Sebaliknya, meter digital berfungsi sama dengan elektromagnet (meter lama) di kawasan perumahan dan akan memberi bacaan mengenai jumlah penggunaan tenaga yang digunakan, manakala kakitangan TNB perlu hadir untuk mengambil bacaan semasa.
“Isu kelewatan pengambilan bacaan bacaan bil ini hanya wujud pada meter jenis ini dan kebanyakan masyarakat menganggap kelewatan bacaan bil ini akan menyebabkan jumlah tenaga yang digunakan memasuki blok tarif ketiga atau keempat yang mana kedua-duanya jauh lebih mahal berbanding pertama dan kedua,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Jasrul Jamani, untuk kawasan perumahan, cas kepada penggunaan tenaga adalah berdasarkan blok tarif.
“Bagi 200 kilowatt per jam (kWh) pertama (blok tarif pertama), jumlah bayaran yang dikenakan adalah RM0.218 per kWh manakala kedua (100kWh seterusnya) sebanyak RM 0.334, 300 kWh seterusnya (blok tarif ketiga) dengan bayaran RM 0.516, RM0.546 untuk blok tarif keempat (300kWh) dan selebihnya RM0.571
“Jika dilihat pada blok ini, sekiranya TNB hadir lewat akan menyebabkan jumlah tenaga memasuki pada blok yang mahal dan menyebabkan caj bulanan keseluruhan menjadi mahal.
“Namun, andaian itu kurang tepat kerana TNB sudah menyediakan skim yang dikenali sebagai Blok Prorata, maknanya jika kakitangan TNB hadir lewat untuk mengambil bacaan sekalipun, jumlah yang ada pada setiap blok akan berbeza atau diselaraskan.
“Jadi, sekiranya analisis pengiraan bil dijalankan secara keseluruhan dengan mengambil kira bacaan bulan semasa (ambil bacaan lewat bersama prorata) serta bil akan datang, masyarakat akan nampak konsep prorata ini amat membantu pengguna dalam memastikan bil mereka tetap sama atau lebih murah,” katanya.
Terdahulu, beberapa pengguna laman sosial menyuarakan keluhan mereka mengenai caj bulanan bil elektrik yang didakwa naik dengan mendadak.
Sumber: kulihatlangitbiru.com