'Beri gambar homestay elok, bila sampai rumah takde dinding, takde pintu'


Hajat hendak menduduki sebuah homestay di Marang, Terengganu terbantut apabila tiga sekeluarga ini terkejut apabila melihat rumah yang hendak disewakan itu tidak mempunyai dinding dan pintu. 

Kesal dengan keadaan rumah itu, penyewa kemudian berkongsikan pengalamannya itu di Facebook Group Homestay Malaysia. 

"Salam, saya nak share homestay yang saya dapat hari tu. Bila gambar diberi, gambar rumah elok dan cantik. Bila sampai, rumah takde dinding, takde pintu! Hanya ditutup dengan jaring hitam.

"Kami datang tiga keluarga, ada anak kecil. Owner homestay pula tak ada pada masa itu. Dia serah kepada adik dia. 

"Patut saya marah ke patut saya suka?" ujarnya. 




Susulan viral itu, tampil seorang ahli keluarga pemilik homestay itu menjelaskan keadaan sebenar di mana mereka sudah memaklumkan keadaan rumah itu kepada penyewa. 

"Tak puas hati, tanya direct. Jangan fitnah. Memang masa tu kami semua pergi Perak sebab adik saya kahwin. Yang uruskan (homestay) makcik saya, adik mak yang duduk di sebelah homestay. 

"Dua homestay yang lengkap ada di sebelah itu. Yang ketiga itu tak sempat siap. Tapi mak saya dah khabar dengan jelas tentang perkara itu. Bilik memang lengkap, aircond dua bilik, satu kipas," jelasnya. 

Berdasarkan gambar screenshot WhatsApp, pemilik homestay berkata, dia sudah menjelaskan perkara itu dan sebab itu harga sewanya murah. 

"Kita beritahu dah. Sebab tu sewa murah. Kira sewa bilik saja. Masa tu semua dah penuh, dia nak juga. Dah maklumkan. Tak apalah, Allah tahu mana yang benar atau tidak. 

"Selepas raya, baru nak sambung (pembinaan) tu. Tukang (buat rumah) balik Indonesia," katanya. 


Sementara itu, netizen berpendapat bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana adalah tidak wajar mengiklankan homestay yang masih belum siap sepenuhnya. Selain itu, timbul juga soal keselamatan penyewa di mana keadaan rumah itu agak terbuka. 

Penyewa bagaimanapun enggan memanjangkan hal itu dan telah membuang post tersebut dan memohon maaf kepada pemilik homestay. Dia berkata, post di Facebook itu hanya sekadar perkongsian pengalaman dan bukannya mahu mengaibkan perniagaan orang lain, malah tiada langsung menyebut nama dan alamat homestay tersebut. 

"Tiada niat saya nak menjatuhkan perniagaan owner. Saya pun takde niat nak duit balik atau apa-apa. Sekadar berkongsi pengalaman. 

"Saya delete post awal-awal kerana tak sangka benda ini jadi viral. Saya pun bukan kemaruk nak like dan viral. 

"Seharusnya owner tunjuk rupa sebenar rumah yang dia kata bilik saja untuk disewa. Saya sebagai penyewa patut tahu keadaan sebetulnya rumah itu. 

"Kalau dia bagi gambar sebetulnya rumah itu, saya mungkin tidak akan booking rumah itu kerana kami datang tiga keluarga, ada anak kecil berusia satu hingga tiga tahun. Sebolehnya kami nak mencari homestay yang selesa. 

"Kami sampai homestay jam hampir 9:00 malam. Terkejut dengan keadaan homestay. Tak pernah lagi mengalami pengalaman sebegini. Call owner, katanya itulah rumahnya," katanya. 

Menurut penyewa, dia sebelum itu mencari iklan homestay dalam group Homestay Malaysia pada 14 Februari lalu dan masuk ke homestay pada 23 Mac. 

"Ada sebulan lebih lagi untuk saya mencari dan ramai yang iklan kata masih ada kekosongan pada tarikhr tersebut. Saya bukan terdesak nakkan sangat rumah tu kerana saya masih boleh mencari yang lain sebab masih ada masa lagi. 

"Kepada owner homestay, saya minta maaf kalau pihak saya yang salah. Hanya Allah saja yang tahu cerita sebenarnya," katanya. 


Sumber : thereporter.my