Baju dijual tiada sambutan, isteri dan anak pula sakit – Adam Corrie

Pelakon Adam Corrie Lee meluahkan kekecewaan apabila perniagaan pakaian yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan di Menara Mara, Kuala Lumpur kurang mendapat sambutan ramai.

Kata Adam, kekurangan pengunjung mendadak berbanding tahun-tahun lalu sejak bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) berpindah lokasi menjadi salah satu punca perniagaannya merudum.

“Sudah dua minggu tiada jualan, macam mana nak raya? Saya buntu memikirkan masalah ini sampai tak lalu makan.

“Hari-hari saya hanya menjamah juadah berbuka puasa dan akan makan pada iftar hari berikutnya.

“Biasanya pengunjung yang datang ke gerai jualan kami di Menara Mara tidak putus-putus tetapi entah kenapa pada tahun ini sambutan sangat kurang menggalakkan.

“Apa saya nak buat dengan stok beribu-ribu ni?” katanya.

Adam yang ditemui pada majlis pelancaran teaser filem Ada Apa Dengan Dosa di Intekma Shah Alam semalam telah cuba melakukan promosi dengan pelbagai cara termasuk media sosial.

“Pelanggan saya terdiri daripada pengunjung yang datang dan mahu mencuba sendiri pakaian yang saya jual.

“Jadi, apabila saya mempromosikan dengan cara lain misalnya online, ia kurang mendapat sambutan,” tambahnya.

Lebih mengecewakan apabila rekaan kurta Adam yang bercirikan motif capal pada bahagian dada turut diciplak oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak berkesempatan untuk mempatenkan rekaan kurta saya dan sangat kecewa apabila ada pihak yang meniru bulat-bulat rekaan saya dan menjual dengan harga lebih murah,” ujarnya.

Perniagaan Mr & Mrs Adam Corrie Exclusive itu menjual pakaian lelaki dan wanita termasuk jubah, baju kurung moden dan dres patuh syariah.



Sumber: kulihatlangitbiru.com