Bacaan Al-Fatihah, keletah anak dorong Irine peluk Islam

TERTARIK dengan bacaan Al-Fatihah dan keletah anak perempuannya yang sering menggayakan tuala sebagai tudung membuatkan seorang wanita, Irine Tan, 40, memilih agama Islam.

Kini menggunakan nama Aishah Tan, wanita itu berkata, kekosongan dalam jiwanya sebelum ini telah diganti dengan ketenangan setelah memeluk Islam sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sejak kecil dia dikelilingi rakan-rakan Melayu, malah pengasuhnya juga seorang warga Pakistan beragama Islam namun ketika itu dia tidak pernah membuka hatinya untuk memilih Islam.

“Sehinggalah melihat keletah anak saya yang ketika itu berusia lima tahun di mana dia sering menggayakan tudung dan membaca Al-Fatihah seperti iklan di televisyen.

“Ketika itu, mula terdetik di hati untuk menjadi seorang muslim dan sejak daripada itu saya mempelajari tentang agama ini sedikit demi sedikit,” katanya.

Dia ditemui pada program pemberian sumbangan sempena Ramadan anjuran Perkim Cawangan Kampung Paloh dan Pertubuhan Muallaf India SeMalaysia (Mira) di Masjid Paloh, Ipoh hari ini.

Aishah bersama anak tunggalnya, Nur Amira mengkui hidup lebih tenang selepas memeluk Islam.

Aishah yang berketurunan India berkata, dia yang dipelihara keluarga angkat dari kaum Cina dan anaknya, Nur Amira yang kini berusia 16 tahun memeluk agama Islam tanpa pengetahuan keluarga angkat dan merahsiakan perkara itu hampir setahun.

Katanya, meskipun rahsia itu telah terbongkar dan tindakannya memeluk Islam tidak diterima oleh keluarga angkat namun dia tetap berharap hubungan tersebut akan kembali pulih.

“Walaupun agak terlewat, saya tetap bersyukur dapat memeluk Islam dan menjadikannya agama untuk dibawa hingga akhir hayat saya.

“Saya berazam untuk menjadi seorang muslim yang baik dan dorongan kawan-kawan diharap akan membuatkan jiwa saya menjadi lebih kuat,” ujar ibu tunggal itu. -UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com