Azira Kembali Ke Pangkuan Kekasih


Genap enam bulan memutuskan hubungan, akhirnya penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz, 27, kembali ke pangkuan bekas kekasihnya, Yasser Khan. Katanya, sepanjang enam bulan memilih haluan masing-masing, mereka saling bermuhasabah hingga sepakat menyambung semula perhubungan.

“Perpisahan ini sebenarnya menguatkan lagi cinta kami, apatah lagi masing-masing berasakan semakin matang dalam menangani segala kemelut. Sepanjang tempoh perpisahan itu juga saya boleh nampak kesungguhannya untuk memulihkan keadaan dan memenangi hati saya semula. Tempoh enam tahun berkawan hingga mengenali hati budi membuatkan saya percaya terhadap kesungguhannya,” katanya selepas kempen Sempurna Seadanya Astro.


Tahun lalu, mereka mengambil keputusan untuk berpisah selepas enam tahun bercinta. Begitupun, mereka menafikan orang ketiga menjadi punca perpisahan, sebaliknya lebih kepada tiada lagi persefahaman dalam perhubungan. Sementara itu, ditanya mengenai perancangan ke arah perkahwinan, akuinya, mereka pernah membincangkan perkara berkenaan, namun bukan dalam masa terdekat

“Saya pernah mensasarkan ingin mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun, tetapi kerjaya seni saya sekarang sedang berkembang. Kesibukan dengan pelbagai projek membuatkan saya perlu memikirkan semula rancangan berkenaan. Mungkin dua tahun lagi saya bergelar isteri,” tambah anggota kumpulan De Fam itu.



Sumber: Oh! Media