MOHD Hanafiee Jaafar, pemandu Grab yang dipercayai mati dibunuh merupakan seorang yang rajin bekerja dan sedang bertungkus-lumus mencari wang untuk melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya selepas Aidilfitri.
Pemuda berusia 27 tahun itu sanggup bekerja keras mencari rezeki sehingga Subuh sepanjang bulan puasa ini untuk mencapai hasratnya itu.
Ibu saudara mangsa, Rafidah Linggam yang dihubungi memberitahu, Mohd Hanafiee merupakan anak yang baik, tidak pernah bergaduh dan seorang yang sangat rajin bekerja.
Rafidah berkata, anak saudaranya itu pernah menyatakan untuk melangsungkan pertunangan selepas hari raya ini.
“Sebab itu dia kata sedang pulun kumpul duit dan segala keperluan lain. Dia nak bertunang dan sedang berusaha buat persiapan,” katanya ketika dihubungi NMP.
Mohd Hanafiee yang bekerja sebagai pemandu Grab sepenuh masa dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga dan rakannya sejak Jumaat lalu.
Bagaimanapun kereta dipandu mangsa ditemui di kawasan tapak Bazar Ramadan, Indah Permai, Sepanggar, pada 12.30 tengah malam Ahad lalu.
Pemeriksaan mendapati kereta mangsa berkunci sebelum menyedari terdapat kesan darah di bahagian stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin.
Polis kemudiannya memanggil ahli keluarganya untuk melakukan pengecaman susulan penemuan mayat seorang lelaki di kawasan semak di Tuaran petang semalam.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada pihak polis, ahli keluarga mangsa percaya mayat itu adalah Mohd Hanafiee berdasarkan pakaian dan beberapa anggota tubuh termasuk kaki.
Sementara itu, portal Harian Metro memetik kenyataan Asnida Saip, 22, bakal tunang Mohd Hanafiee bahawa mereka sememangnya bercadang untuk bertunang tidak lama lagi.
Asnida yang sudah enam tahun mengenali mangsa memberitahu, dia dan keluarga pasti merindui segalanya berkenaan Hanafiee kerana arwah bukan sahaja amat baik, tidak pernah bertindak kasar dan tidak sombong,” katanya.
Sumber: NewMalaysianPost
Sumber: kulihatlangitbiru.com