KUANTAN: Pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui kekalahan 0-4 pada suku akhir kedua Piala FA malam tadi, adalah aksi terburuk skuad itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Beliau berkata, kekalahan 2-5 menerusi agregat walaupun menang 2-1 pada suku akhir pertama memadam impian skuad Penyu untuk menjulang piala berprestij yang kali terakhir dimenangi pada 2011.
"Malam ini (malam tadi), ia adalah perlawanan terburuk TFC dalam saingan Liga M ketika pasukan perlu memang untuk mara ke separuh akhir.
"Namun, kelekaan dan persembahan kurang agresif menyebabkan kita tewas kepada Pahang yang berhak menang berdasarkan prestasi yang dipersembahkan mereka.
"Bagi saya, pemain tidak cerdik kerana memberi ruang sepenuhnya kepada Pahang menguasai perlawanan dan kita mungkin dibolosi sehingga lapan gol," katanya.
Irfan Bakti berkata, beliau sudah mengingatkan kepada anak buahnya supaya tidak bermain secara bertahan kerana ia boleh memberi kesan terhadap keputusan perlawanan.
Katanya, kebimbangannya itu berlaku apabila tuan rumah berjaya menyempurnakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol.
"Pemain saya berusaha melakukan serangan tetapi sudah terlambat. Mereka juga tidak berani ‘pegang’ bola dan lebih kepada menghantar bola lambung dan tinggi.
"Sebenarnya, saya tidak sangka TFC akan mengalami kekalahan besar pada perlawanan malam ini (tadi)," katanya. - Berita Harian