Adakah Nabi SAW Dan Para Sahabat Berpuasa Ketika Perang?


Soalan:
Saya ada membaca beberapa peperangan semasa zaman Nabi SAW dahulu adalah berlaku pada bulan Ramadhan. Jadi, adakah Nabi SAW dan para sahabat berperang dalam keadaan berpuasa atau mereka berbuka sebelum bertempur dengan pihak musuh?

Jawapan:
Kami mulakan dengan takrif puasa. Menurut bahasa, puasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam AS:

إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَـٰنِ صَوْمًا
“Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) al-Rahman.” (Surah Maryam: 26)


Sementara, puasa dari segi syara’ pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/59)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri R.A, katanya:

سَافَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِلَى مَكَّةَ وَنَحْنُ صِيَامٌ قَالَ فَنَزَلْنَا مَنْزِلاً فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِنَّكُمْ قَدْ دَنَوْتُمْ مِنْ عَدُوِّكُمْ وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ. فَكَانَتْ رُخْصَةً فَمِنَّا مَنْ صَامَ وَمِنَّا مَنْ أَفْطَرَ ثُمَّ نَزَلْنَا مَنْزِلاً آخَرَ فَقَالَ : إِنَّكُمْ مُصَبِّحُو عَدُوِّكُمْ وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ فَأَفْطِرُوا. وَكَانَتْ عَزْمَةً فَأَفْطَرْنَا
Kami bermusafir bersama Rasulullah SAW ke Mekah (untuk melakukan pembukaan Mekah). Kami sampai di satu tempat lalu Rasulullah SAW bersabda: “Kamu semua sedang menghampiri musuh kamu sedangkan berbuka puasa itu lebih kuat untuk kamu.” (Kata Abu Said al-Khudri): Maka itu satu kelonggaran (untuk terus berpuasa), maka dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka. Kemudian kami sampai ke satu tempat yang lain lantas Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sedang berhadapan dengan musuh kamu, berbuka puasa itu lebih kuat untuk kamu maka berbukalah.” (Kata Abu Said al-Khudri): Maka itu satu kewajipan maka kami pun berbuka. [Riwayat Muslim (1895) dan Abu Daud (2058)]



Imam al-Munawi menyebut: “Dapat disimpulkan bahawa alasan disyariatkan berbuka bukan kerana musafir akan tetapi disebabkan musuh telah dekat dan mereka memerlukan kekuatan tubuh badan yang optimum untuk berjihad. Walaupun mereka menetap di sebuah negeri (tidak bermusafir), mereka tetap boleh berbuka untuk menjaga stamina tubuh yang kuat dalam menghadapi musuh.” (Lihat Faidh al-Qadir, 2/555-556)

Dalam riwayat lain, Sayyidina Umar bin al-Khattab turut menceritakan perkara yang sama. Beliau berkata:

غَزَوْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ غَزْوَتَيْنِ يَوْمَ بَدْرٍ وَالْفَتْحِ فَأَفْطَرْنَا فِيهِمَا
“Kami berperang dalam dua buah peperangan (Badar dan Pembukaan Kota Mekah) bersama Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan, lalu kami berbuka puasa pada kedua perang tersebut.” [Riwayat al-Tirmidzi (714) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (8520)]


Diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat Nabi SAW berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ النَّاسَ فِي سَفَرِهِ عَامَ الْفَتْحِ بِالْفِطْرِ ، وَقَالَ : تَقَوَّوْا لِعَدُوِّكُم
“Aku pernah melihat Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya yang bermusafir pada peristiwa Fath Makkah untuk berbuka. Baginda bersabda: “Kuatkan tubuh kamu untuk menghadapi musuh kamu.” [Riwayat Abu Daud (2365)]


Kata al-Hafiz dalam al-Talkhis al-Habir (2/449), hadis ini disahihkan oleh al-Hakim dan Ibn Abd al-Bar. Hadis ini juga menunjukkan perintah berbuka bukan kerana musafir tetapi kerana untuk menambahkan kekuatan ketika berperang.

Penutup

Justeru, berdasarkan kepada sunnah Rasulullah SAW serta arahannya, maka berbuka ketika menghadapi peperangan jauh lebih afdhal kerana maslahat puasa untuk peribadi sedangkan kekuatan itu dengan tenaga pada fizikal adalah untuk kemenangan Islam. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya.

Semoga kita dapat mentahqiqkan firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya.” [Surah al-Hasyr (7)]


+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Sumber: Oh! Media