KIRA-KIRA 30 gerai di Bazar Melayu Masjid India di Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran yang berlaku kira jam 1.30 pagi tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Penolong Penguasa Bomba Rahmat Kamaruzaman berkata, seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Sentul dan Unit Forensik BBP Seri Rampai dikejar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.38 pagi.
Anggota bomba memadamkan kebakaran yang berlaku di Bazar Melayu Masjid India, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Katanya, jentera pertama sampai lapan minit kemudian mendapati api sedang marak membakar beberapa gerai di bahagian tengah bazar berkenaan.
“Operasi pemadaman api sedikit sukar berikutan ketika kejadian terdapat banyak kenderaan diparkir di sekeliling kawasan itu.
“Bagaimanapun, api berjaya dikawal sekitar jam 2 pagi dan dapat dipadamkan sepenuhnya jam 2.22 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Rahmat berkata, hasil siasatan mendapati kira-kira 30 lot gerai di bazar berkenaan musnah 100 peratus dalam kebakaran itu.
Katanya, kebakaran tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.
“Menerusi siasatan awal dijalankan, kebakaran 30 gerai yang terletak dalam dua deretan di bazar itu membabitkan keluasan sekitar 50 kaki persegi.
“Siasatan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang dilakukan,” katanya.
Sumber: kulihatlangitbiru.com