3 Pemain TFC II dicadang serap ke Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan menyifatkan sekurang-kurangnya tiga pemain yang berada dalam skuadnya berpotensi untuk diserap dalam pasukanTerengganu FC (TFC).

Katanya, mereka adalah Hasan Basri Ahmad Ridzuan, Hafizal Mohamad dan penjaga gol Shamirza Yusoff.

“Jika cakap pemain saya boleh bermain saya rasa keterlaluan tetapi kita sebagai pasukan 'feeder’ kepada pasukan TFC, kita sedia melepaskan mana-mana pemain yang TFC mahu.

“Bukan saya mahu cadangkan mereka tetapi pada pandangan saya tiga pemain itu boleh diberi peluang untuk beraksi dalam pasukan TFC, lagi pun mereka pernah menyarung jersi T-Team,” katanya, di sini, hari ini.

Bermula musim lalu, skuad TFC II yang sebelum ini menggunakan nama T-Team diberi nafas baru selepas penjenamaan semula pasukan bola sepak negeri sekali gus berperanan sebagai pasukan pelapis skuad utama.

Musim ini empat pemain sudah diserap ke TFC iaitu pemain tengah iaitu Sharin Sapein dan Haidhir Suhaini selain pemain pertahanan, Muhamad Mohd Fauzi dan penyerang, Izzan Syahmi Mustafa.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad The Turtles itu kian meningkat selepas berada di tangga keempat Liga Perdana dengan mengutip 22 mata, ketinggalan empat mata di belakang UiTM FC selaku pendahulu. - Berita Harian