Abang Mamat Khalid hari ini menunjukkan rasa kecewanya apabila telefilem terbaru arahanya iaitu 17 Puasa menjadi bahan rakaman haram digital yang disebarkan ke laman media sosial.
Walaupun jumlah perkongsian masih dilihat sedikit, tetapi jika tidak disekat lebih awal ia akan bertambah dan ini akan menutup periuk nasi serta membunuh semangat pengkarya, jelas Mamat.
“Saya tahu mereka berniat baik mahu membantu promosi dan keseronokan, berdasarkan keterangan yang disertakan pada pautan yang dikongsi. Tetapi, ia tetap salah di sisi undang-undang.
“Telefilem ini banyak kenangan kerana ia projek pertama saya selepas sedar daripada koma. Kos penghasilannya pula adalah hasil sumbangan banyak pihak, termasuk keluarga dan rakan-rakan.
“Mereka sanggup membantu kerana memahami semangat saya yang memang suka mengarah,” kata Mamat yang masih dalam proses pemulihan selepas tiga minggu koma akibat komplikasi jantung dan hati, Januari lalu.
17 Puasa merupakan sebuah telefilem yang menceritakan ragam orang-orang yang berpuasa dan boleh menontonnya di saluran Astro First dan ia merupakan sambungan dari telefilem tahun lalu, 16 Puasa.
Sumber: Oh! Media