Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengambil tindakan terjun dari jambatan di hadapan ibunya dan maut, pada malam Rabu lalu di Shanghai, lapor Global Times.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dashcam kereta yang tersebar di media sosial menunjukkan, kereta putih terbabit berhenti di tengah jalan di Jambatan Lupu, jam 10:00 malam Rabu.
Keadaan jalan ketika itu sesak, pemandunya masih berada di tempat duduk sehinggalah beberapa minit kemudian, remaja terbabit keluar dari kereta dan berlari ke arah jambatan sambil dikejar oleh ibunya.
Tanpa berfikir panjang, remaja itu terus terjun dari jambatan. Ibunya cuba menghalang tetapi gagal berbuat demikian dan meraung kesedihan di tepi jalan.
Tidak beberapa lama kemudian, ambulans tiba di tempat kejadian tetapi mangsa telahpun meninggal dunia.
Difahamkan, wanita itu bertengkar dengan anaknya mengenai berhubung kes pergaduhan remaja itu dengan rakan sekelasnya di sekolah.
Kejadian itu mengundang perdebatan di kalangan netizen. Ada yang menyalahkan remaja itu terlalu lemah untuk mengatasi kemarahan ibunya. Tidak kurang juga, ada yang menyalahkan si ibu yang memberhentikan kenderaan di tengah jalan untuk mendisiplinkan anaknya sehingga menyebabkan remaja itu bertindak terjun dari jambatan.
Sumber : thereporter.my