Penyanyi Ning Baizura menyatakan hasratnya untuk membuka sebuah lagi restoran dengan konsep yang agak berlainan selepas terpaksa menutup restoran yang baru dibukanya 3 bulan yang lalu.
Restoran Tudung Periuk yang dibuka Ning pada tahun lalu itu terpaksa ditutup atas punca sukar mencari tukang masak yang menyebabkan banyak hidangan tidak dapat disediakan.
“Terkilan juga kerana restoran itu adalah simbolik kepada legasi arwah bapa yang pernah mengusahakan perniagaan makanan. Hasrat untuk meneruskan perniagaan masih ada, memandangkan bidang nyanyian bukan lagi punca utama pendapatan saya,” katanya.
Konsep terbaru yang dikongsikan Ning bagi restoran yang dalam perancangannya ini adalah untuk menyediakan sebuah tempat khas untuk artis bernyanyi memandangkan peminat yang berkunjung ke kedainya ingin melihat dia bernyanyi, tetapi tidak dapat menunaikan permintaan itu.
“Justeru, saya bercadang untuk membuka restoran yang mempunyai tempat khas untuk artis menyanyi. Bukan hanya saya, sebaliknya rakan artis lain juga berpeluang membuat persembahan di situ.
“Saya dan rakan kongsi sudah mengenali pasti lokasi yang sesuai, berkemungkinan di Bangsar,” katanya.
Sumber: Oh! Media