Tiada kenaikan gaji minimum tahun ini – Menteri

BENTONG – Kadar baharu gaji minimum hanya akan diumumkan sebelum Ogos tahun depan yang menyaksikan tiada perubahan kadar gaji minimum pada tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, beliau selaku menteri tidak mempunyai kuasa menentukan kadar kenaikan yang akan diputuskan oleh Majlis Jawatankuasa Gaji Minimum.

“Sebenarnya Majlis Jawatankuasa Gaji Minimum yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Steve Shim akan mengambil pandangan daripada pihak berkaitan sebelum membuat cadangan kepada kerajaan.

“Selepas dicadangkan kepada menteri, perkara itu akan dibawa ke Kabinet yang akan membuat keputusan muktamad,” katanya dalam sidang akhbar pada Kem Kesihatan Karak 2019 di Perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, D. Kamache.

Baru-baru ini Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 agar dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat terutama golongan muda.

Presiden MBM, Jufitri Joha dilaporkan berkata, peningkatan gaji minimum perlu dilaksanakan kerana kadar gaji minimum sedia ada iaitu RM1,100 tidak mencukupi. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com