'Terasa hembusan nafasnya singgah ke telinga' - Kisah seram di resort, Kuantan

Sekadar perkongsian untuk bacaan suka-suka. Bagi mereka yang lemah semangat dan mudah terbayangkan perkara yang tidak sepatutnya, anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan bacaan. Risiko tanggung sendiri. Gambar-gambar yang digunakan juga hanyalah sekadar hiasan sahaja. Selamat membaca.


SUDAH agak lama aku ingin menukilkan pengalaman saya bersama makhluk Allah yang tidak kelihatan ini. Walaupun sejak aku mampu mengingat, terlalu banyak pengalaman aku. Tetapi kisah yang bakal terpapar di skrin anda adalah yang teseram. 

Kisahnya bermula apabila aku meerima tawaran pekerjaan sebagai Night Auditor di sebuah restor yang baru beroperasi di Kuantan, Pahang. Bekas pengurus di resort berdekatan menawarkan aku pekerjaan tersebut selepas dia menilai prestasi aku bekerja bersama dengannya. 

Hari pertama aku lalui dengan sesi mengenalkan aku dengan proses kerja di situ. Sebagai sebuah resort yang baru beroperasi, ada banyak perkara yang aku perlu pelajari. 

Seminggu pertama, keadaan agak tenang. Dengan desiran angin laut di lobi terbuka, membuatkan aku mula jatuh cinta pada pekerjaan ini dan aku berkesempatan melihat matahari naik setiap subuh, membuatkan aku rasa lebih menghargai keindahan alam. 

Malam kelapan, segalanya bermula. Seperti biasa aku memulakan tugas pada jam 11:00 malam. Ya, itulah kehidupan aku sebagai night auditor. Bermula jam 11:00 malam, berakhir jam 7:00 pagi keesokan harinya. Cuma sedikit kelebihan bekerja di waktu ini, tiada kerenah pengurusan yang harus aku hadapi dan aku boleh tidur sebentar selepas menyelesaikan segala tugasan aku. 

Malam itu, setelah selesaikan tugas menutup akaun operasi resort untuk hari itu, kira-kira jam 2:00 pagi aku melelapkan mata sebentara di atas sofa berhadapan dengan kaunter. Aku berbaring di situ dan perlahan-lahan aku hanyut ke alam mimpi, ditemani dengan deruan angin laut yang menenangkan. 

Beberapa jam selepa situ, aku merasakan ibu jari kaki ditarik dengan kuat, membuatkan aku tersentak. Aku lihat jam menunjukkan jam 5:00 pagi dan itu adalah masa aku meneruskan tugasan aku sebelum menyerahkan tugas kepada teman sekerja bagi syif yang seterusnya. 

Tanpa berfikir panjang, aku bangun dan kembali ke meja. Aku tekan butang untuk cetak bagi menyiapkan laporan harian. 

Suasana terasa sedikit berbeza pada subuh itu. Desiran angin sedikit sejuk berbanding hari-hari lain. Suasana di lobi juga kelihatan agak kelam walaupun semua lampu dinyalakan. Tidak mahu berfikiran negatif, aku terus menunggu semua laporan aku siap dicetak. 

Dalam keriuhan mesin pencetak itu, tiba-tiba aku terasa satu deruan angin yang sangat pantas dan dingin menyentuh kulit wajah. Dalam masa yang sama, semua bulu roma berdiri tegak. Aku mula tak senang duduk apabila terasa seperti ada seseorang yang memerhatikan aku. 

Semakin lama semakin kuat aura yang dipancarkan. Terasa seperti ada orang sedang berdiri di belakang dan memerhatikan apa yang aku lakukan. Kemudian ada sedikit sentuhan di bahu kiri serta terasa seperti hembusan nafas lembut meniup cuping telinga. 

Aku masih bertahan walaupun ketakutan melanda diri. Semakin aku bertahan, semakin rancak ia mengganggu aku. Kerusi terasa seperti ditarik, bunyi lif yang terletak 50 meter dari kaunter, berterusan turun naik dan berhenti di setiap tingkat tanpa ada yang turun atau naik. 

Kemuncak aku diganggu apabila aku merasakan bisikan lembut dengan bahasa yang tidak difahami singgah di cuping telinga aku sekali lagi. 

Aku kemaskan meja, kunci laci berisi wang dan memecut naik ke asrama penginapan aku di tingkat tiga. Aku tak gunakan lif, sebaliknya menaiki tangga dengan kudrat yang ada. 

Sampai di asrama, aku lihat rakan-rakan sekerja semua sedang berkampung di luar unit asrama kami. Ada yang merokok, berbual sesama sendiri, malah ada yang tidur di kaki lima balkoni apartment itu. 

Sampai di situ, aku bertanya kenapa mereka semua berkumpul di luar, sedangkan masing-masing perlu bekerja dalam tempoh sejam lagi? Mereka mula membuka mulut bercerita. 

Menurut mereka, sejak tengah malam lagi mereka sudah diganggu. Pintu bilik diketuk berselang-seli. Bunyi periuk belanga berlaga seolah-olah ada yang memasak mengganggu masa rehat mereka. 

Bagi yang tidur di ruang tamu asrama, mereka diganggu dengan lebih teruk. Selimut ditarik tanpa ada sesiapa. TV terpasang sendiri, telefon berdering tanpa henti, apabila diangkat gagangnya hanya hembusan nafas sahaja yang kedengaran. 

Bagi bilik yang mempunyai bilik mandi, bunyi seseorang sedang mandi dan bermain air di dalam tab mandi. Ada juga yang terdengar seolah-olah sebuah keluarga sedang bersiap sedia untuk menghadapi hari seterusnya. 

Langkah kaki anak-anak berlari dari ruang dapur ke ruang rehat jelas kedengaran bersama dengan suara ketawa yang menyeramkan. Pintu sliding diketuk dari luar, sedangkan asrama kami di tingkat tiga. Setiap tingkat diketuk dan terbuka sendiri. 

Menurut salah seorang kawan aku, bilik aku yang kosong seolah-olah ada yang mendiami. Suara dari TV kedengaran jelas tetapi siaran bukanlah dalam bahasa yang biasa didengari. Pintu bilik aku seperti diketuk dari dalam berulang kali. Juga ada bunyi seseorang mandi berterusan sehingga jam 5:00 pagi. 


Kemuncak mereka diganggu apabila semua pintu, tingkap dan pintu sliding terbuka serentak. Deruan angin yang kuat menyerbu masuk diiringi dengan suara hilaian ketawa wanita dan kanak-kanak. 

Itulah sebab mereka semua berkampung di luar rumah. 

Selepas berbual beberapa ketika, barulah salah seorang kawan aku bertanya apa yang aku buat di atas, sedangkan syif aku belum berakhir. Aku mula menceritakan apa yang terjadi di bawah tadi. Semua mendengar dengan tekun dan reaksi wajah mereka pucat seperti tiada langsung darah dalam tubuh badan mereka. 

Selepas berbincang beberapa ketika, kami membuat keputusan untuk masuk ke rumah dan melihat keadaannya. Kami terkejut sedikit kerana keadaan dalam rumah berselerak seolah-olah ada yang tidak menggemari kehadiran kami di sini. Pakaian kami berterabur di dalam rumah. TV seolah-olah ditendang dan berada di atas lantai.

Akhirya kami semua setuju untuk tidak masuk ke dalam rumah sehinggalah keadaan di luar menjadi terang. 

Pagi itu, kami menceritakan apa yagn terjadi pada kami pada malam sebelumnya. Pakcik ini mendengar kisah kami dengan senyuman lebar dan katanya, tapak restor ini sebenarnya dibina di atas tapak perkuburan lama yang ditebusguna. Dia sudah bekerja di sini sejak kerja-kerja pembinaan bermula dan itu adalah perkara biasa buatnya. 

Menurut pakcik ini, selepas pembinaan ini sudah siap tetapi masih menunggu perabot dihantar, dia terpaksa tidur di pondok pengawal. Tidak semena-mena pintu pondok itu diketuk membuatkan dia terbangun dan membuka pintu. Tetapi apa yang dia lihat adalah seorang wanita tua yang tidak kelihatan wajahnya sedang menarik bungkusan putih melalui pondok itu. 

Bungkusan itu kelihatan seakan-akan bergerak-gerak. Lama dia memerhatikan dan akhirnya baru jelas bahawa bungkusan itu adalah kain kafan. 

Sejak malam itu, 'merekalah' yang menjadi peneman setia aku bekerja setiap malam dan ketiadaan 'mereka' membuatkan malam aku menjadi sangat sunyi dan membosankan. 

ITu cuma permulaan pada kehidupan yang 'indah' buat aku sepanjang setahun berkhidmat di situ. Gangguan begitu sudah menjadi teman rapat dalam mengharung kesunyian malam setiap hari. 

Pernah juga ada satu malam itu aku rasakan tiada gangguan langsung. Sebagai manusia, terdetik di hati kenapa keadaan amat sunyi malam itu. Sebaik habis pertanyaan itu kepada diri aku, lif secara tiba-tiba bergerak tanpa ada yang menaikinya. Bunyi bola bergesel sesama sendiri di meja pool di games room dan derauan angin pantas melalui di hadapan aku dan berakhir dengan bunyi sesuatu terjun ke dalam swimming pool. 

Itulah pengalaman aku sepanjang bekerja di bidang perhotelan. Banyak lagi kisah seram yang aku alami. Biarlah semua itu menjadi sebahagian daripada pengalaman indah hidup aku. 

Sumber: Nairulhizam Yunus, Fiksyen Shasha


Sumber : thereporter.my