Tampar, terajang pengawal keselamatan, pelawak didenda RM2,000


Mahkamah Seremban hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap pelawak Mazlan Ahmad, 49, yang mengaku bersalah memukul seorang pengawal keselamatan pada 6 April lalu. 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, Lan Pet Pet dibawa ke mahkamah pagi tadi untuk berdepan dengan tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan. 

"Tertuduh yang merupakan seorang pelakon mengaku bersalah dan dihukum denda sebanyak RM2,000," katanya. 

Dalam kejadian 6 April lalu, Mazlan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal taman perumahan Acacia Park Desa Jati, Nilai, memukul seorang pengawal keselamatan berusia 68 tahun. 

Lan Pet Pet menumbuk muka mangsa sebelum menendangnya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan trauma. 

Pelawak yang pernah menganggotai kumpulan Senario itu dipercayai berang kerana ditegur mangsa yang menceroboh masuk dan tidak mencatitkan maklumat dirinya sebelum memasuki kawasan perumahan itu. 


LAPORAN BERKAITAN:


Sumber : thereporter.my