'Tak sempat jumpa mak, tahu-tahu balik rumah dah kosong'


Ibu bapanya bercerai, ibunya pula ditangkap pihak berkuasa dua minggu lalu kerana terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ini tinggal bersendirian di rumah sewa di Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi. 

Mohd Firdaus Abdullah, 12, yang sudah tidak bersekolah sejak Oktober 2018, adakalanya membantu penduduk kampung melakukan kerja rumah untuk mendapatkan upah bagi menyara dirinya. Di sebelah malam, dia tinggal bersendirian dan kadang-kadang menumpang di rumah kawannya kerana takut tinggal bersendirian. 

Difahamkan, ibunya ditahan dalam satu operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada awal bulan ini. 


Menurut Firdaus, ibu bapanya telah lama berceari dan selepas berkahwin baharu, bapa tirinya juga meninggalkan mereka kira-kira lima tahun lalu. 

"Saya anak tunggal, memang selama ini duduk berdua saja dengan mak. Tapi dua minggu lalu ada kawan beritahu yang mak dah kena tangkap sebab dadah. 


"Saya tak sempat nak jumpa mak, tahu-tahu balik rumah dah kosong. Tak ada orang pun. 

"Keluarga Syafik baik, kebetulan mak kami berkawan. Bila mereka kena balik kampung, saya pun baliklah semula ke rumah (sewa)," katanya. 

Rumah yang didiami oleh Firdaus sudah terputus bekalan elektrik dan air sejak dua tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, rumahnya hanya bercahayakan lilin dan dia terpaksa mandi di tandas stesen minyak berdekatan. 

"Macam inilah kehidupan. Selepas berhenti sekolah, saya tolong sapu daun kering dan bakar sampah di rumah orang. Dapatlah upah RM3-RM5. Mak pula kerja cuci-cuci, orang kampung banyak tolong. Ada yang bagi duit belanja untuk kami makan," katanya. 


Selain itu, bapa saudaranya juga kerap membantu dia dengan menghantar makanan setiap hari. 

Firdaus bagaimanapun enggan menyusahkannya, kerana bapa saudaranya itu bukan orang senang. Walaupun dia sedih dan takut tinggal seorang diri, dia terpaksa reda dan menghadapi semua itu. 

"Memang saya nak ke sekolah, boleh jumpa balik kawan-kawan. Dulu saya terpaksa berhenti sebab banyak sangat masalah," katanya. 

Lapor Sinar Harian, ibu Firdaus kini berada di Penjara Tapah. 


Terdahulu, kisah Firdaus viral di media sosial selepas dikongsi Presiden Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud, 58, yang sebelum itu menerima panggilan daripada bapa saudara Firdaus yang memaklumkan kanak-kanak itu memerluan bantuan penjagaan sementara di mana katanya rumah Firdaus dipecah masuk penjenayah beberapa hari lalu yang mencuri dapur dan tong gas. 

Prihatin dengan keadaannya, Firdaus ditempatkan di rumah wakaf dan di situ ada pihak yang akan menjaga makan minum dan pakainya buat sementara waktu. Dalam masa yang sama Amiruddin telah memaklumkan keadaan Firdaus kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan seterusnya. 

Sumber: Sinar Harian


Sumber : thereporter.my