'Suami tuduh saya curang sampai dapat HIV, suruh gugurkan kandungan..'


"Abang janji takkan ceraikan awak kalau awak mahu bertaubat," demikian janji si suami kepada isterinya yang disahkan menghidap HIV tanpa mengetahui apa puncanya. 

Ibu kepada dua orang anak ini terpaksa redha dan bersyukur suaminya masih mahu menerima dirinya biarpun diberikan syarat dan sebelum itu dituduh berlaku curang. 

SAYA Nora (bukan nama sebenar), berumur 35 tahun, punyai dua cahaya mata. Suami saya pemandu lori yang membawa muatan dari Johor ke sempadan Thailand.

Sekarang saya hamil tiga bulan, baru saja buka buku pink. Bila doktor periksa darah saya, tiba-tiba mereka kata saya ada HIV positif. Macam nak jatuh mendengar kata-kata doktor itu. 

Saya tahu suami selalu outstation tapi saya tak pernah buat perkara yang tidak elok. Bila dapat berita ini, suami terus marah-marah dan menuduh saya curang. Tetapi dia cakap dia sanggup menerima saya lagi kalau saya bertaubat. 

"Kalau awak tak buat benda tak elok dengan jantan lain pun, abang percaya sebab guna tandas awam jenis duduk itu pun boleh dapat HIV.

"Abang janji takkan ceraikan awak kalau awak mahu bertaubat," katanya. 

Saya memang bengang sungguh dengan tuduhan dia. Saya faham yang saya bekerja sebagai cleaner saja, pendapatan tidak selumayan seperti dia. Kalau betul HIV boleh dijangkiti dari tandas awam, mungkin sayalah orang yang malam itu sebab hari-hari kerja saya memang mencuci tandas sahaja. 

Selepas dapat tahu tentang penyakit saya ini, dia terus tidak mahu menemani saya untuk follow up dengan doktor. Dia kata dia boleh maafkan saya tapi dia masih malu nak pergi ke klinik kesihatan sebab doktor dan jururawat di situ semua sudah kenal siapa saya. 

Doktor dan jururawat pula tidak memahami keadaan saya, selalu meminta saya menghubungi suami untuk datang pada sesi temujanji akan datang sebab doktor nak periksa juga darah suami. 

Sekarang suami dah ambil anak-anak saya duduk di rumah ibunya kerana dia takut penyakit saya berjangkit pada anak-anak. Suami juga menyuruh saya menggugurkan kandungan ini kerana takut anak itu kelak hidup seksa menanggung HIV daripada saya. 

Perkara ini belum dimaklumkan kepada keluarga saya. Saya tak nak cerita sebab mak saya ada penyakit jantung dan saya bimbang dia risau dengan masalah saya. 

Temujanji dengan doktor pun saya dah tak pergi sebab mereka masih nak test darah suami saya. Sekarang saya duduk seorang diri di rumah dengan kandungan yang semakin membesar. Hari-hari saya menangis sampai lebam mata memikirkan apa dosa saya sehingga diuji sebegini. 

Sekurang-kurangnya saya masih bernasib baik dapat suami yang sudi menerima saya walaupun orang lain pandang jijik pada saya. 

Sementara itu, netizen tidak menolak kemungkinan penyakit itu berpunca dari suaminya yang melakukan maksiat ketika outstation di sempadan Thailand. 





Sumber : thereporter.my