Polis kini sedang memburu seorang lelaki berusia 30 tahun yang didakwa menetak remaja lelaki yang bermain permainan popular Mobile Legend bersama sepupu perempuannya.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10:20 malam Rabu lalu di Kampung Tinusa Dua, Sandakan, Sabah, suspek berang dengan mangsa berusia 18 tahun yang datang ke rumahnya lalu bertindak menyerangnya dengan parang.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan putus urat di jari manis dan tengah di tangan kanan.
Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis sehari selepas kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa mengaku telah datang ke rumah rakan perempuannya itu untuk bermain Mobile Legend.
Difahamkan, rakan perempuannya itu tinggal bersama datuk dan suspek di rumah tersebut.
Ketika mahu pulang, mangsa disergah oleh suspek yang bertanya apa yang dilakukan oleh mereka berdua di rumah.
"Suspek terus menghayunkan parang ke arah mangsa dan terkena pada dua jari tangan kanan," katanya.
Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dan pergi ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk mendapatkan rawatan menyambut semula urat jarinya yang terputus.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Sumber: Harian Metro
Sumber : thereporter.my