Peneroka terkejut jumpa bayi atas wakaf

DUNGUN – Sepasang suami isteri peneroka melalui pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang hayat selepas menemukan seorang bayi dalam keadaan berbalut tuala yang ditinggalkan di atas sebuah wakaf di Felda Jerangau dekat sini pagi ini.

Ibrahim Dollah, 71, dan Wan Misah Wan Husin, 65, tergamam seketika sebaik sahaja menjumpai bayi lelaki itu kira-kira pukul 7.30 pagi sewaktu mereka dalam perjalanan ke ladang sawit untuk memotong rumput sebagai makanan lembu ternakan.

Menurut Ibrahim, semasa melalui kawasan tersebut, isterinya, Wan Misah menyedari satu objek berbalut menyerupai bayi di atas wakaf lalu dia mengundurkan kereta sebelum menghampiri objek itu.

“Rupanya sangkaan isteri saya tepat, objek itu adalah seorang bayi lelaki dan ketika ditemui, bayi itu yang dibalut tuala warna ungu menangis dengan kuat sebelum saya dukungnya sambil laung takbir di telinganya, usap muka dan tepuk badannya.

“Tak lama kemudian bayi itu berhenti menangis lalu saya minta isteri dukung bayi itu sementara saya dapatkan bantuan pemilik sebuah kedai makan berhampiran sebelum menghubungi talian kecemasan 999,” katanya di sini hari ini sambil mengakui berasa panik dengan penemuan bayi itu.

Menurutnya, ketika ditemukan, bayi yang berkulit cerah dan cukup sifat itu dipercayai berusia dua minggu dan masih memakai lampin. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com