Mohamad Nik Dedah Punca Terengganu FC Tewas


KUALA TERENGGANU: "Ini tempat kita, maruah kita. Sepatutnya peluang ini kita kena ambil sebaik mungkin untuk mencatat kemenangan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila kita tumpas kepada pasukan lawan.

“Saya tidak mahu merendahkan keupayaan pasukan tetapi bagi saya pemain hanya beraksi pada 20 minit terakhir saja manakala selebihnya seolah-olah tidak ada motivasi untuk menang. Ini yang menghairankan,” kata penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik mengulas kekalahan pasukannya kepada PKNP FC semalam.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, PKNP FC yang dibimbing penolong jurulatih, Chan Wing Hoong pulang ceria selepas menundukkan TFC 2-1 hasil dua jaringan penyerang kelahiran Brazil, Giancarlo Rodrigues.

Gol tunggal skuad Penyu dijaringkan pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya.

Mohamad Nik sebelum ini mengambil alih tugas membimbing TFC untuk tempoh selama 10 hari susulan Irfan Bakti Abu Salim mengikuti kursus lesen pro di Kuala Lumpur.

Bekas pemain tengah kebangsaan yang kali pertama mengambil alih tugas sebagai pemangku ketua jurulatih skuad itu ternyata berang dan sukar untuk mempercayai corak permainan yang diperagakan anak buahnya.

Malah, Mohamad yang sedih dengan prestasi hambar pemainnya turut melahirkan nada kurang gembira apabila rekod tanpa kalah di laman sendiri juga lebur ketika beliau mengambil alih tugas sebagai pemangku ketua jurulatih.

"Sebelum perlawanan, saya dah ingatkan pemain supaya fokus pada perkara seperti disiplin dan corak permainan kerana jika kita hilang benda ini..inilah hasil yang kita dapat (kalah).

“Jika dilihat kedua-dua gol yang diperoleh PKNP selang seminit sebelum tamat babak pertama dan selepas babak kedua bermula adalah berpunca daripada kesilapan pemain TFC sendiri yang mudah hilang fokus serta gagal mengawal emosi,” katanya. - Berita Harian