Soalan:
Ada sebuah hadith yang ertinya ‘Bila masuk meminang oleh seorang lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinkanlah ia’.
Adakah hadith ini sahih? Adakah bila lelaki yang beragama meminang maka kita wajib menerimanya?
Jawapan:
Hadith yang dimaksudkan ialah hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. katanya :
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ، إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ، وَفَسَادٌ عَرِيضٌ
Rasulullah saw bersabda: “Apabila masuk meminang oleh seorang lelaki yang kamu suka agamanya dan pergaulannya maka hendaklah kamu kahwinkan akan dia. Jika tidak maka berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.”
Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah dan At-Tabarani dalam Mu’jam Ausath dan Ibnu Hibban dan Al-Hakim dalam Mustadrak dan Al-Khatib dalam Tarikh Baghdad dan Az-Zahabi dan lainnya. Hadith tersebut adalah hadith hasan.
Hadith hasan ialah hadith yang kuat tetapi tidak sekuat hadith sahih dan hadith hasan bolih dijadikan sandaran hujjah sebagaimana hadith sahih.
Dan pada satu riwayat Rasulullah saw bersabda:
إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنْ كَانَ فِيهِ؟ قَالَ: إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ.
“Apabila datang akan kamu seorang yang kamu redhai agamanya dan tingkah lakunya maka kahwinkanlah dia. Jika tidak maka berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan.” Berkata mereka: “Sekalipun dia sudah memiliki?” Sabda baginda: “Apabila datang akan kamu seorang yang kamu redhai agamanya dan tingkah lakunya maka kahwinkanlah dia.” Tiga kali Rasulullah saw menyebutnya. (Hadith hasan riwayat Imam Tirmidzi)
Adakah wajib menerima pinangan lelaki beragama? Tidak wajib hukumnya menerima pinangan lelaki yang beragama tetapi digalakkan dan dibilang sunat maka seorang wanita tidaklah berdosa jika dia tidak menerima pinangan lelaki yang beragama kerana maksud hadith ini ialah menganjurkan supaya memilih suami yang beragama.
Ini adalah kerana walaupun lelaki yang meminang itu beragama dan berakhlak mungkin pihak perempuan tidak bersetuju dengan wajahnya atau warna kulitnya atau saiz badannya.
Sebaiknya jika seorang wanita menolak pinangan lelaki beragama yang pertama maka ia tetap memilih pasangannya di waktu yang lain juga lelaki yang beragama yang ia sukai.
Maksud akan terjadi fitnah menurut setengah ulamak ialah jika berkahwin dengan pasangan yang tidak beragama atau agama tidak menjadi kepentingan dalam memilih pasangan tetapi mementingkan harta benda dan rupa sahaja.
Wallahua’lam.
+ Ustaz Azhar Idrus (Original)
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media