Lee Tuck Mohon PBSNT Bantu, FAM Bagi Tempoh Seminggu


KUALA TERENGGANU: Arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck menyatakan masih berminat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan biarpun terpaksa menunggu berita gembira itu tanpa mengetahui tarikh sebenarnya.

Malah pemain berdarah kacukan England-Malaysia dengan nenek sebelah ibunya berasal dari Sabah manakala bapanya berasal dari England, mengakui sedang menyiapkan dokumen yang diperlukan sebelum mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai warganegara.

"Setakat ini status permohanan untuk menjadi pemain tempatan masih lagi sama (dalam proses) kerana segala dokumen perlu diproses dan mengambil masa untuk dilengkapkan,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

"Bagaimanapun saya harap semuanya dapat diselesaikan dalam masa terdekat apabila dokumen yang diperlukan sudah lengkap.

"Lagipun saya masih lagi berminat untuk menyarung jersi skuad Malaysia biarpun ia mengambil masa," kata pemain kelahiran Halifax, England itu yang mengharapkan PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) membantunya melengkapkan semua dokumen berkaitan.

Hari ini media melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tempoh seminggu kepada pemain itu dan PBSNT untuk mengemukakan dokumen lengkap sebelum pendaftaran di dibuat dan seterusnya diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Sebelum ini FAM berasa terkilan dengan sikap acuh tak acuh PBSNT berhubung pendaftaran perancang skuad TFC itu sebagai pemain tempatan berikutan sehingga kini tanpa tindakan susulan biarpun sudah diberi tempoh hampir lima bulan.

Proses itu mengambil masa agak lama disebabkan Tuck masih belum lagi menghantar permohonan secara rasmi kepada majikannya, PBSNT mengenai hasratnya itu untuk menjadi pemain tempatan.

Difahamkan proses itu belum dapat diselesaikan kerana pemain berkenaan belum mengemukakan dokumen secara sah mengenai pertalian darah dengan neneknya yang berasal dari negara ini sekali gus menyukarkan lagi proses pendaftarannya sebagai warganegara Malaysia. - Berita Harian