Kirim Salam Kepada Rasulullah SAW


Soalan:
Saya pernah mendengar dalam satu siri kuliyah agama dimana seseorang telah bertanyakan apakah hukumnya mengirim salam kepada Rasulullah saw dan ustaz hanya menjawab dengan ringkas iaitu ada perselisihan ulamak padanya. Setengah ulamak mengatakan tidak disuruh berbuat seperti itu dan setengah ulamak yang lain mengharuskannya. Ustaz tidak menerangkan ulamak manakah yang mengharuskannya? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah saw adalah amalan yang sangat besar fadhilatnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرًا
“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadith Muslim)

Dalam hadith ini tidak ditentukan samada selawat dan salam ini secara terus dari orang yang hendak berselawat dan bersalam atau dengan melalui kiriman.

Hukum mengirim ucapan selawat dan salam kepada Nabi saw berlaku perselisihan dikalangan ulamak. Sebahagian ulamak yang mengharuskannya adalah dari kalangan ulamak-ulamak mazhab yang muktabar juga.

Tersebut pada Mausu'ah al-Fatawa al-Fuqahak Oman:

وأمّا من اشتاق لسيدنا النبيّ صلى الله عليه وسلم واشتدّ حبه له، وتذكر صفاته الإنسانية الجميلة، وأخلاقه العالية النبيلة، فله أن يرسل السلام مع من يزور النبيّ عليه الصلاة والسلام أو يجاوره، وهذا ما أفتى به علماؤنا الصالحون من أهل المذاهب المعتبرة
“Dan adapun orang-orang yang sangat mengasihi Sayyidina Nabi saw dengan kasih yang bersangatan dan selalu menyebut keelokkan sifatnya dan perikemanusiaannya dan akhlak agungnya maka baginya harus mengirim salam kepada orang yang pergi ziarah akan Nabi saw. Inilah yang difatwakan oleh ulamak-ulamak kami yang soleh dari mazhab-mazhab yang muktabar.”


Berkata Imam Nawawi:

وإن كان قد أوصي بالسلام عليه صلى الله عليه وسلم، قال: السلام عليك يا رسول الله من فلان بن فلان، وفلان ابن فلان، يسلم عليك يا رسول الله، أو نحو هذه العبارة"
“Dan jika seseorang telah berpesan dengan sampaikan salam ke atas Nabi saw maka berkatalah yang menerima kiriman salam itu: ‘Salam sejahtera atas kamu wahai Rasulullah dari si fulan bin fulan atau si fulan bin fulan mengucapkan salam atas kamu wahai Rasulullah’ atau seumpama lafaz yang demikian itu.” (Kitab Al-Majmu’)

Menyebut oleh Syeikh Abdullah bin Muhammad Al-Muusily Al-Hanafi:

ويبلغه سلام من أوصاه، فيقول: السلام عليك يا رسول الله من فلان بن فلان، يستشفع بك إلى ربك، فاشفع له ولجميع المسلمين، ثم يقف عند وجهه مستدبر القبلة، ويصلي عليه ما شاء
“Dan hendaklah menyampaikan pesanan salam orang yang berpesan dengannya dengan berkata: ‘Salam sejahtera atas kamu wahai Rasulullah dari si fulan bin fulan.’ Engkau mohon syafaat kepada Tuhanmu maka Rasulullah saw akan memberi syafaat atasnya dan sekalian muslimin. Kemudian berdiri disisi wajahnya mengadap kiblat dan berselawat atasnya sesuka kehendaknya.” (Kitab Al-Ikhtiar lita’lil Mukhtar)

Berkata Imam Al-Zarqani Al-Maliki:

فإن أوصاه أحد بإبلاغ السلام إلى النبي صلى الله عليه وسلم بأن قال الموصي: قل: السلام عليك من فلان، أو سلم لي عليه صلى الله عليه وسلم، وتحمل ذلك، ورضي به، وجب عليه إبلاغه؛ لأنه أمانة يجب أداؤها، فليقل: السلام عليك يا رسول الله من فلان
“Maka jika seseorang berpesan kepadanya dengan sampaikan salam kepada Nabi saw dengan bahawa berkata yang berpesan itu: ‘Salam sejahtera atas kamu dari fulan’. Atau berkata yang mengirim salam itu: ‘Tolong sampaikan salam bagiku atas Nabi saw’ lalu yang mendengarnya menerima pesanan itu dan redha dengannya maka wajiblah atasnya menyampaikannya kerana ia sungguhnya adalah amanah yang wajib ditunaikan. Maka berkatalah yang menerima pesan itu: ‘Salam sejahtera atas engkau wahai Rasulullah dari si fulan’.” (Kitab Syarah Mawahib Liddiniyah)

Menyebut oleh Syeikh Mustafa As-Suyuthi:

وإذا أوصاه أحد بالسلام، فليقل: السلام عليك يا رسول الله من فلان بن فلان، ويبلغه وجوباً إن تحمله ليخرج من عهدته
“Dan apabila berpesan seseorang kepadanya dengan sampaikan salam maka hendaklah dia berkata: ‘Salam sejahtera atas kamu wahai Rasulullah dari fulan bin fulan’, hal keadaan menyampaikan itu wajib supaya terlepas dari tanggungjawabnya.” (Kitab Matholib Uli An-Nuha)

Mudah-mudahan dengan keterangan ini memadai bagi penanya. Wallahua’lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Sumber: Oh! Media