Kipre Tchetche Belum Selamat - Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: “Kedudukan Kipre Tchetche belum selamat”. Itu jawapan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim ketika cuba meredakan tekanan peminat mengenai kedudukan penyerang sensasinya itu dalam skuad berkenaan.

Irfan menegaskan tidak ada jaminan buat pemain kelahiran Ivory Coast yang diberi gelaran 'Drogba Ganu' sama ada terus kekal menyarung jersi skuad Penyu itu pada jendela kedua perpindahan pemain yang bermula pada awal Mei ini.

Malah Irfan turut menjelaskan beliau sebenarnya sudah ada bayangan pemain baharu untuk mengambil alih peranan penyerang itu.

"Kedudukannya (Tchetche) sama ada akan kekal dalam skuad TFC selepas jendela kedua perpindahan pemain belum muktamad lagi, namun begitu saya sudah bersedia dengan pemain lain.

"Tapi saya tidak mahu terburu-buru kerana masih ada masa lagi kira-kira tiga minggu untuk memutuskan perkara itu sama ada Tchetche akan terus kekal menyarung jersi TFC atau diganti dengan pemain lain, ia bergantung kepada prestasi pemain itu.

"Bagaimanapun ketika bertemu FELDA United, Tchetche bukan hanya mampu menjaringkan gol, tapi corak permainannya lain macam sikit dan semakin meningkat," katanya.

Ketika menentang skuad The Fighters di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat lalu, bekas penjaring kedua terbanyak Liga Super musim lalu itu dengan menghasilkan 14 gol itu berjaya membuktikan ketajamannya apabila meledak dua jaringan untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1.

Jaringan itu adalah yang pertama dihasilkan pemain itu dalam saingan Liga Super musim ini selepas kemarau gol sejak sembilan perlawanan yang menyaksikan skuad TFC hanya merekod 11 jaringan manakala 14 bolos. - Berita Harian