Irfan Bakti Optimis Terengganu FC Mampu Cabar Pahang FA


KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim optimis skuad kendaliannya mampu menyaingi Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Rabu ini.

Jurulatih berpengalaman itu menjelaskan, kekalahan 0-3 kepada skuad Tok Gajah pada perlawanan Liga Super sebelum ini memberi pengajaran berguna kepada anak buahnya mengenai betapa perit erti kekalahan.

"Berdasarkan rekod pertemuan dalam liga musim ini kita tewas, tetapi pentas Piala FA ini kita mahu bangkit, bagi saya sebenarnya saingan ini hampir sama dengan Piala FA di England kerana pertembungan dua pasukan berjiran itu ada klasik dan keunikannya yang tersendiri.

"Sebagai contoh musim lalu dengan JDT (Johor Darul Ta'zim) ramai pemerhati bola sepak tidak memilih skuad TFC layak ke final Piala Malaysia tetapi akhirnya kita berjaya biar pun prestasi skuad JDT berada di kemuncak ketika itu.

"Begitu juga dengan Pahang, ketika mereka menang dengan kita tempoh hari, jurulatihnya, Dollah Salleh menyatakan perlawanan itu adalah aksi terbaik yang ditampilkan pemain mereka tetapi selepas itu habis dan tidak konsisten.

"Justeru rekod sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana corak permainan sesebuah pasukan pastinya berbeza apatah lagi pada peringkat suku akhir ini dengan semangat pemain kami kian membara," kata Irfan.

Kata Irfan, kejayaan menundukkan pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) memberi tonik berharga buat pemainnya untuk membawa bekalan selesa sebelum aksi suku akhir kedua pada 10 Mei di tempat lawan.

"Aksi pertama di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin pemain sebelum perlawanan kedua nanti, kemenangan selesa harus dicapai bagi menyuntik semangat mereka beraksi cemerlang dan seterusnya layak ke separuh akhir.

"Selain itu, tahap kecergasan Lee Tuck yang semakin baik bakal mengganggu pihak lawan apatah lagi kebangkitan semula corak permainan yang ditampilkan Kipre Tchetche yang sudah kembali menemui sentuhan penyudah sejak dua perlawanan terakhir," katanya. - Berita Harian