Ikan pari gergasi berat 200 kg tersangkut di jaring


Seekor ikan pari gergasi berat 200 kg ditangkap nelayan di kawasan pesisiran pantai Pulau Bruit, Kampung Betanak, Daro, Sarawak, lapor Suara Sarawak

Nelayan, Mohd Nizam Lai, 27, berkata, dia pada awalnya cemas apabila melihat objek besar kemerah-merahan itu muncul di permukaan air. 

"Saya cemas melihat objek besar kemerah-merahan itu tiba-tiba muncul di atas permukaan air dan tidak menyangka itu adalah ikan pari. 

Mohd Nizam bersama bapanya, Lai Awi, 54, kemudian menaikkan ikan pari seberat 200 kilogram itu ke darat, kawasna pesisir pantai Pulau Bruit, pada jam 10:00 pagi Isnin. 

"Saya menyangka jaring kami tersangkut pada objek besar seperti bakul, tambahan pula saya tidak pernah melihat objek sebesar itu. 

"Sebaik menarik jaring, alangkah terkejutnya apabila kami melihat seekor ikan pari gergasi di permukaan air. 



"Kami mengambil masa hampir sejam untuk menaikkannya ke bot sebelum dibawa pulang ke pengkalan. 

"Ini merupakan kali pertama saya mendaratkan ikan sebesar itu. Tidak ada sebarang petanda sebelum ini dan kami turun ke laut seperti biasa. Mungkin ini rezeki," katanya. 

Sebaik saja mereka tiba di pengkalan, penduduk lain turut datang melihat dengan dekat saiz ikan pari gergasi itu sebelum dijual kepada salah seorang penduduk di situ dengan harga berpatutan. 


Sumber : thereporter.my