Hukum Tidur Selepas Masuknya Waktu Solat


Soalan:
Apakah hukum seseorang itu tidur selepas masuknya waktu solat? Contohnya seseorang itu tidur pada pukul 2.30 petang tanpa menunaikan solat zohor terlebih dahulu.

Jawapan:
Tidur merupakan satu perkara lumrah bagi seorang manusia yang normal. Tidur yang cukup diperlukan oleh manusia untuk menjalankan aktiviti harian selain daripada makan dan minum. Tidur juga tidak lari daripada hukum taklif yang lima, iaitu harus, wajib, sunat, haram dan makruh. Ia bergantung kepada situasi dan keadaan tertentu. [Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (42/17)]

Mengenai hukum tidur selepas masuknya waktu solat fardhu dan sebelum menunaikan solat tersebut, suka untuk kami nukilkan perkara ini daripada Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah:

وَإِنْ نَامَ بَعْدَ دُخُولِ الْوَقْتِ، فَإِنْ غَلَبَ عَلَى ظَنِّهِ الِاسْتِيقَاظُ قَبْلَ خُرُوجِ الْوَقْتِ فَلَا إثْمَ عَلَيْهِ أَيْضًا وَإِنْ خَرَجَ الْوَقْتُ لَكِنَّهُ يُكْرَهُ لَهُ ذَلِكَ إلَّا إنْ غَلَبَهُ النَّوْمُ بِحَيْثُ لَا يَسْتَطِيعُ دَفْعَهُ، وَإِنْ لَمْ يَغْلِبْ عَلَى ظَنِّهِ الِاسْتِيقَاظُ أَثِمَ وَيَجِبُ عَلَى مَنْ عَلِمَ بِحَالِهِ إيقَاظُهُ حِينَئِذٍ
“Jika seseorang itu tidur selepas masuknya waktu solat dan kuat sangkaanya bahawa dia akan bangun sebelum keluarnya waktu solat, maka tidak berdosa baginya walaupun terkeluar daripada waktu solat disebabkan tidur (yang dibina atas sangkaan bahawa dia mampu untuk bangun sebelum keluarnya waktu solat), tetapi hukumnya adalah makruh kecuali jika seseorang itu sangat mengantuk dan dia tidak dapat mengatasi rasa mengantuknya itu. Jika seseorang itu tidak mempunyai sangkaan yang kuat bahawa dia mampu bangun untuk menunaikan solat (jika tidur selepas masuknya waktu solat), maka dia berdosa dan wajib bagi sesiapa yang mengetahui keadaannya untuk mengejutnya pada waktu itu.” [Rujuk Tuhfat al-Muhtaj (2/407)]

Kami juga menukilkan perkara seumpama ini daripada Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari Rahimahullah mengenai masalah tidur selepas masuknya waktu solat:

يكره النوم بعد دخول وقت الصلاة وقبل فعلها حيث ظن الاستيقاظ قبل ضيقه لعادة أو لإيقاظ غيره له وإلا حرم النوم الذي لم يغلب في الوقت
“Makruh untuk tidur selepas masuknya waktu solat dan sebelum menunaikan solat tersebut jika dia mempunyai sangkaan pada kebiasaanya dia akan bangun sebelum habisnya waktu atau dikejutkan oleh orang lain. Jika tidak, haram baginya untuk tidur (tidur yang menyebabkannya terlepas waktu solat).” [Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrat al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (1/89)]




Imam Muhammad Nawawi al-Jawi Rahimahullah juga ada membincangkan mengenai hukum tidur selepas masuknya waktu solat. Kami nukilkan sebahagian daripadanya di sini:

“Adapun tidur selepas masuknya waktu solat, jika dia mengetahui akan terlepas waktu solat disebabkan tidur tersebut, maka haram baginya untuk tidur dan dia melakukan dua dosa, iaitu dosa disebabkan meninggalkan solat dan dosa disebabkan tidur. Jika dia bangun sebelum habisnya waktu solat yang mana berbeza dengan sangkaan awalnya, maka dia tidak berdosa disebabkan meninggalkan solat, namun dia tetap berdosa kerana tidur, maka dosa tidur tadi tidak terangkat melainkan dengan beristighfar.

Jika kuat sangkaanya bahawa dia akan bangun sebelum keluarnya waktu solat, maka tidak berdosa baginya walaupun terkeluar daripada waktu solat disebabkan tidur (yang dibina atas sangkaan bahawa dia mampu untuk bangun sebelum keluarnya waktu solat), tetapi hukumnya adalah makruh kecuali jika seseorang itu sangat mengantuk dan dia tidak dapat mengatasi rasa mengantuknya itu.” [Rujuk Kasyifah as-Saja Syarh Safinah an-Naja (hlm. 191)]

Asas kepada hukum ini adalah berdasarkan hadith Nabi SAW:

ليس في النَّومِ تفريطٌ إنَّما التَّفريطُ على مَن لم يُصَلِّ الصَّلاةَ حتَّى يجيءَ وقتُ صلاةٍ أخرى
“Tidaklah tidur itu sia-sia, sesungguhnya yang sia-sia itu adalah sesiapa yang tidak menunaikan solat sehingga datangnya waktu solat lain.” [Riwayat ibn Hibban (1460), Syeikh Syuaib al-Arnout menghukumnya sahih atas syarat Imam Muslim]

Kesimpulan

Makruh untuk tidur selepas masuknya waktu solat sebelum menunaikan solat tersebut jika dia yakin mampu untuk bangun sebelum habisnya waktu solat tersebut. Jika dia tidak yakin mampu untuk bangun sebelum habisnya waktu solat tersebut, maka haram baginya untuk tidur sehinggalah menunaikan solat tersebut.

Jika seseorang itu mahu tidur sebentar disebabkan keadaan tertentu seperti terlalu letih dan mengantuk, maka diharuskan untuknya tidur sebentar tetapi dengan syarat berusaha untuk bangun selepas itu seperti mengunci jam loceng di telefon bimbit dan sebagainya, atau meminta ahli keluarga dan rakan-rakan mengejutkannya pada waktu tertentu selepas seseorang itu masuk tidur.

Namun begitu, kami ingin menegaskan bahawa yang terbaik adalah menunaikan kewajipan solat terlebih dahulu sebelum melaksanakan perkara-perkara lain, termasuk tidur dan sebagainya.

سُئلَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: أيُّ الأعمالِ أفضَلُ؟ قال: الصلاةُ في أوَّلِ وَقتِها
Rasulullah SAW telah ditanya: “Apakah amalan yang paling utama?” Nabi SAW bersabda: “Solat di awal waktu.” [Riwayat Abu Daud (426), Syeikh Syuaib al-Arnout mengatakan sanadnya lemah]

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media