Soalan:
Apa Hukum Ilzaq (إلزاق) ketika solat berjemaah? Adakah ia sunnah Nabi Muhammad SAW?
Jawapan:
Solat adalah ibadah yang disyariatkan kepada setiap Muslim untuk dilakukan sama ada berseorangan atau secara berjemaah sepertimana yang dianjurkan oleh agama Islam. Sungguhpun begitu, melakukan solat secara berjemaah adalah lebih baik dan mendapat ganjaran yang berganda berbanding melakukannya secara bersendirian. Berdasarkan pengalaman ketika menunaikan solat secara berjemaah terutama di masjid dan surau, seringkali kita mendengar nasihat dari Imam untuk mendirikan saf dan merapat-rapatkannya lalu membacakan sebuah hadis:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ
“Luruskan saf-saf kalian, kerana meluruskan saf termasuk dalam sebahagian menegakkan solat (berjemaah).” (Hadis Bukhari, No. 690)
Namun begitu, adakah dengan meluruskan saf itu memerlukan seseorang itu melakukan Ilzaq bersama jemaah yang berada bersebelahan?
Ilzaq (إلزاق) dari sudut bahasa memberi maksud menempel atau mencantumkan. Manakala dari sudut istilah, Ilzaq di dalam solat memberi maksud menempelkan atau merapatkan sehingga bersentuhan bahu bertemu bahu, lutut bertemu lutut, kaki bertemu kaki sehingga tidak ada ruang kosong dalam saf yang didirikan.
Terdapat beberapa hadis sahih yang menyatakan berkenaan Ilzaq ini. Nu’man bin Basyir berkata:
أَقْبَلَ رَسُولُ اللهِ بِوَجْهِهِ عَلَى النَّاسِ فَقَالَ: " أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ , ثَلَاثًا وَاللهِ لَتُقِيمُنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ " قَالَ : فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يُلْزِقُ كَعْبَهُ بِكَعْبِ صَاحِبِهِ, وَرُكْبَتَهُ بِرُكْبَتِهِ وَمَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِهِ
Rasulullah SAW menghadap kepada manusia, lalu bersabda: “Dirikanlah saf (tiga kali). Demi Allah SWT, dirikanlah saf atau Allah SWT akan membuat perselisihan di antara hati kalian.” Lalu An-Nu’man bin Basyir berkata: “Saya melihat seorang lelaki menempelkan kakinya dengan kaki orang disebelahnya, lutut dengan lutut dan bahu dengan bahu.” (Hadis Abu Daud, 1/178)
Anas bin Malik berkata, sabda Rasulullah SAW:
أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي وَكَانَ أَحَدُنَا يُلْزِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ
“Luruskanlah saf kamu, kerana saya melihat kalian dari belakang bahuku.” Terdapat seorang di antara kami yang menempelkan bahunya dengan bahu temannya dan telapak kaki dengan telapak kakinya.” (Hadis Bukhari, No. 692)
Dalam membahaskan hadis ini, para fuqaha’ telah berbeza pendapat dalam memberi pandangan seterusnya menyimpulkan hukum ke atasnya:
Ibnu Rajab Al-Hanbali (w.795H) menyatakan di dalam kitab karangannya Fathul Bari, (Jld. 6, hlm. 282):
حَدِيْثُ أَنَسٍ هَذَا: يَدُلُّ عَلَى أَنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ: مُحَاذَاةُ الْمَنَاكِبِ وَالْأَقْدَامِ
“Hadis Anas ini menunjukkan tentang meluruskan saf, menyelaraskan bahu dan telapak kaki.”
Justeru apabila melakukan solat jemaah, Ilzaq dan Muhazah adalah perbuatan yang terkait. Hal ini kerana, jemaah bukan sahaja perlu merapatkan saf dengan cara Ilzaq iaitu (menempelkan) bahkan ia perlu Muhazah iaitu menyelaraskan barisan sehingga kelihatan lurus dan sempurna.
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyatakan sepertimana yang terdapat di dalam kitab Fathul Bari, (Jld. 2, hlm. 211):
الْمُرَادُ بِذَلِكَ الْمُبَالَغَةُ فِي تَعْدِيلِ الصَّفِّ وَسَدِّ خَلَلِهِ ، وَقَدْ وَرَدَ الْأَمْرُ بِسَدِّ خَلَلِ الصَّفِّ وَالتَّرْغِيبِ فِيهِ فِي أَحَادِيثَ كَثِيرَةٍ أَجْمَعُهَا حَدِيثُ ابْنِ عُمَرَ عِنْدَ أَبِي دَاوُدَ وَصَحَّحَهُ ابْنُ خُزَيْمَةَ وَالْحَاكِمُ وَلَفْظُهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ ، وَمَنْ وَصَلَ صَفًا وَصَلَهُ اللَّهُ ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ
Yang dikehendaki (hadis tersebut) adalah penegasan dalam meluruskan saf dan menutup ruang kosong, dan telah dinukilkan dari Al-Amru berkenaan menutup ruang kosong di dalam saf dan galakan kepadanya, banyak hadis yang telah terkumpul, hadis Ibnu Umar di sisi Abu Daud dan disahihkan oleh Ibnu Huzaimah dan lafaznya bahawa Rasulullah SAW berkata: “Dirikanlah saf dan selaraskanlah di antara bahu-bahu kamu dan jangan membiarkan ruang-ruang kosong saf terdedah kepada syaitan, dan barangsiapa yang menyambungkan saf, Allah SAW akan menyambungkan rahmatnya dan barangsiapa yang memotong saf maka ia terputus dari rahmat Allah SWT.”
Beliau menyatakan bahawa meluruskan saf dengan cara Ilzaq (إلزاق) adalah satu penegasan dalam merapatkan dan menutup ruang ketika membina saf untuk bersolat. Hal ini kerana, kesempurnaan saf adalah amat dititik beratkan sehingga Rasulullah SAW menyatakan pentingnya dalam membina satu saf yang sempurna kerana ia berhubung kait dengan rahmat diantara hamba dan penciptanya.
Kesimpulan
Berdasarkan hujah dan dalil yang disertakan, didapati bahawa Ilzaq (إلزاق) merupakan Sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam mendirikan saf. Iaitu dengan cara merapatkan kaki dan bahu serta meluruskan barisan. Namun ia perlu dilakukan secara berhemah agar ia tidak menyakiti jemaah yang berada di bersebelahan. Kepentingannya adalah merapatkan saf kerana Ibnu Hajar menyatakan bahawa mereka yang memutuskan saf adalah tergolong mereka yang berdosa besar.
Nasihat kami, daripada hasil pemerhatian dalam kalangan masyarakat, kebanyakan kita mengambil mudah dalam isu meluruskan saf ini. Walhal, membina saf secara lurus dan sempurna adalah amat dituntut kerana disitu lahirnya kesatuan hati.
Bahkan, Khalifah Sayyidina Umar Al-Khattab tidak memulakan solat sehingga barisan atau saf yang didirikan tidak lurus dan sempurna;
مَا رَأَيْت أَحَدًا كَانَ أَشَدَّ تَعَاهُدًا لِلصَّفِّ مِنْ عُمَرَ أَنْ كَانَ يَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ حَتَّى إذَا قُلْنَا قَدْ كَبَّرَ الْتَفَتَ فَنَظَرَ إلَى الْمَنَاكِبِ وَالْأَقْدَامِ وَإِنْ كَانَ يَبْعَثُ رِجَالًا يَطْرُدُونَ النَّاسَ حَتَّى يُلْحِقُوهُمْ بِالصُّفُوفِ
“Aku tidak pernah melihat seseorang yang begitu besar perhatiannya terhadap saf melainkan Sayyidina Umar ibn Al Khattab. Ketika kami semua telah menghadap kiblat dan mula untuk bertakbir, beliau masih menoleh ke belakang dan melihat bahu-bahu dan kaki-kaki kami. Terkadang beliau mengutus seseorang untuk menertibkan jemaah hingga mereka semua saling menempel dalam saf solat.” (Rujuk kitab Al-Musannaf karangan Ibn Abi Syaibah, jld. 1 m/s 369)
Marilah bersama-sama mengamalkan sunnah Rasulullah SAW ini kerana ia makin ditinggalkan. Cubalah merapatkan dengan serapat mungkin dengan makmum bersebelahan secara istiqamah, mudah-mudahan ia menjadi kebiasaan daripada adat yang selalu diamalkan. Wallahua’lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media