Soalan:
Saya melihat terdapat banyak mesin-mesin claw yang diusahakan di dalam pasaraya secara berleluasa. Persoalan saya ialah, apakah hukum bermain dengan mesin Claw? Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan:
Setiap muslim yang mengaku beriman serta berpegang dengan syariat Islam wajib mengawasi serta memastikan setiap perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka adalah selari dengan tuntutan syariat Islam. Ianya merangkumi setiap setiap amalan zahir dan juga batin. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man Bin Bashir R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ
“Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya.” [Sunan Abi Daud (3329)]
Mesin claw adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi dalam memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut. Secara khususnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90)
Syeikh al-Maraghi menyebut, amalan judi adalah antara punca timbul permusuhan dan kebencian dalam kalangan orang yang berjudi. Kebiasaannya, mereka memusuhi orang yang menang dan bergembira di atas kedukaan orang lain. Perbuatan ini akan menjurus kepada pelanggaran hak kedua-dua orang tua, isteri dan anak-anak. Pada akhirnya, mereka akan menjadi bahan cemuhan dan kebencian.
Memang judi boleh menjadikan orang yang memerlukan menjadi kaya. Akan tetapi, amalan ini juga boleh memeras orang yang berharta kerana orang yang kalah buat kali pertama kali akan berasa tercabar untuk melakukannya buat kali kedua dengan harapan akan menang pada kesempatan-kesempatan yang lain. Kadang-kadang, kemenangan itu tidak pernah diperolehi hingga hartanya habis sama sekali. Pada saat itu, dia akan menjadi orang yang fakir lagi miskin, kemudian menjadi musuh ketat kepada mereka yang mengalahkannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1691)
Setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146)
Menjawab kepada isu ini, konsep yang diketengahkan dalam permainan mesin claw ini adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiar (pilihan). Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
• Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
• Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
• Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan. (Lihat Halal Dan Haram Dalam Islam, hlm. 427)
Kesimpulan
Kami cenderung mengatakan bahawa hukum permainan mesin claw ini adalah haram dan dilarang. Ini kerana, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar. Di samping itu, permainan seperti ini adalah lebih kepada keberuntungan nasib pemain dimana permainan seperti ini tidak dibenarkan di dalam Islam.
Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan menjarakkan diri kita semua dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam. Amin.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Oh! Media