Soalan:
Apakah status hadith ini?
تَرْكُ صَلَاةِ فَجْرِ وَاحِدَة: سَيُدْخِلُ جَهَنَّمُ لِثَلَاثِيْنَ عَامًا، أَوْ سِتِّيْنَ أَلْف عَامٍ مِنْ أَعْوَامِ الدُّنْيَا. تَرْكُ صَلَاةِ الظُّهْرِ يُعَادِل خَطِيْئَة قَتْل أَلْفَ مُسْلِم. تَرْكُ صَلَاةِ العَصْرِ: يُعَادِل خَطِيْئَة هَدْمِ الكَعْبَةِ. تَرْكُ صَلَاةِ المَغْرِبِ: يُعَادِل الزِّنَا بِالأَبَوَيْنِ. تَرْكُ صَلَاةِ العِشَاءِ، لَنْ يُبَارِكَ لَهُ الله فِي بَقَائِهِ عَلَى الأَرْضِ، تَحْتَ سَمَائِهِ أَوْ فِي مَطْعَمِهِ وَمَشْرَبِهِ
“Meninggalkan satu kali solat Subuh, akan dimasukkan ke dalam neraka selama 30 tahun bersamaan dengan 60000 tahun di dunia. Meninggalkan satu kali solat Zohor, dosanya sama seperti membunuh 1000 orang Islam. Meninggalkan satu kali solat Asar, dosanya sama dengan meruntuhkan Kaabah. Meninggalkan satu kali solat Maghrib, dosanya sama seperti berzina dengan orang tua. Meninggalkan satu kali solat Isyak, tidak akan di redhai Allah SWT tinggal di bumi atau di bawah langit serta makan dan minum dari nikmat-Nya.”
Jawapan:
Hukum hadith
Riwayat ini tidak diketahui asalnya dan ia adalah palsu. Justeru itu, haram bagi kita untuk menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Ini kerana, menyandarkan sesuatu yang tidak diperkatakan oleh Rasulullah SAW adalah satu dosa yang besar.
Tambahan pula, terdapat sebuah lagi hadith yang hampir sama dengan hadith di atas tetapi ia tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar iaitu:
مَنْ تَرَكَ صَلَاةَ الصُّبْحِ فَلَيْسَ فِي وَجْهِهِ نُوْرٌ، وَمَنْ تَرَكَ صَلَاةَ الظُّهْرِ فَلَيْسَ فِي رِزْقِهِ بَرَكَةٌ، وَمَنْ تَرَكَ صَلَاةَ العَصْرِ فَلَيْسَ فِي جِسْمِهِ قُوَّةٌ، وَمَنْ تَرَكَ صَلَاةَ المَغْرِبِ فَلَيْسَ فِي أَوْلَادِهِ ثَمَرَةٌ، وَمَنْ تَرَكَ صَلَاةَ العِشَاءِ فَلَيْسَ فِي نَوْمِهِ رَاحَةٌ
“Barangsiapa yang meninggalkan solat Subuh, maka tidak ada cahaya pada wajahnya. Barangsiapa yang meninggalkan solat Zohor, maka tidak ada keberkatan pada rezekinya. Barangsiapa yang meninggalkan solat Asar, maka tidak ada kekuatan pada jasadnya. Barangsiapa yang meninggalkan solat Maghrib, maka tidak ada buah atau hasil yang boleh dipetik daripada anak-anaknya. Barangsiapa yang meninggalkan solat Isya', maka tidak ada kenyamanan di dalam tidurnya.”
Hukum hadith
Riwayat ini juga tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadith yang muktabar dan ia adalah riwayat atau hadith yang palsu. Justeru itu, haram bagi kita untuk menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Tambahan pula, menyandarkan sesuatu yang tidak diperkatakan oleh Rasulullah SAW adalah satu dosa yang besar sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith-hadith yang sahih berkaitan larangan berdusta di atas nama Nabi SAW.
Penutup
Kesimpulannya, kedua hadith atau riwayat di atas tidak sahih daripada Nabi SAW. Selain itu juga, haram ke atas kita untuk meriwayatkan atau menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya dan ini termasuk di dalam kewajipan kita untuk memelihara Rasulullah SAW daripada sebarang pendustaan yang disandarkan kepada Baginda SAW. Tambahan pula, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan terhadapnya dan juga kalamnya (hadithnya). Sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ
“Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta.” [Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim]
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.
Wallahua’lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media