Ciri-ciri Wanita Solehah Dan Kelebihannya


Soalan:
Kenapa bila disebut tentang ‘wanita solehah’ kebanyakannya berkaitan isteri? Dan apakah maksud wanita yang solehah dan beragama sepertimana yang disebut dalam hadis Baginda Nabi SAW. Mohon penjelasan.

Jawapan:
Secara umumnya tidak semestinya apabila disebut wanita solehah merujuk kepada isteri kerana dalam Nas Ilahi juga menyebut berkaitan perempuan yang menjaga maruahnya. Wanita solehah biasanya disebut seperti ini untuk menjadi satu dambaan kepada lelaki dalam membina rumahtangga. Hal ini sepertimana sabda Nabi SAW:

فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
“Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.” [Riwayat al-Bukhari (4802) dan Muslim (1466)]

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan, ungkapan “فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ” membawa maksud sewajarnya bagi seorang yang beragama dan memiliki maruah (adab) untuk menjadikan agama sebagai petunjuk dalam setiap perkara, lebih-lebih lagi dalam perkara yang dia akan berteman dan tinggal lama bersamanya (isteri). Maka Nabi SAW menyuruh agar mendapatkan seorang wanita yang memiliki agama di mana agama adalah puncak keinginan. (Lihat Fath al-Bari, 9/164)

Imam Nawawi menyebut bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur. Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/51-52)

Ungkapan “فَاظْفَرْ” membawa maksud cari dan berusahalah serta berlumbalah untuk mendapatkan perempuan yang baik agamanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh a-Maram, 5/234)

Imam al-Son’ani menyebut, Nabi SAW memerintahkan para pemuda sekiranya mereka menjumpai perempuan yang baik agamanya, maka janganlah mereka berpaling untuk mengubah pilihan kepada perempuan lain. (Lihat Subul al-Salam, 10/4)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Hikmah pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak adalah kerana agama akan terus kukuh bersama-sama peredaran zaman. Manakala akhlak pula akan terus mantap bersama hari-hari yang berlalu, di samping pengalaman hidup. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan.

Hal ini tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika kesemua ciri ini ada, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/519-520)

Ini kerana wanita solehah ini biasanya sudah menjadi sejarah daripada dahulu lagi akan dikahwini oleh lelaki yang sepertinya dan biasanya akan menjadi pilihan utama. Disebabkan itulah, dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏ [Riwayat Muslim (715)]

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).




Hal ini merujuk kepada sabda Nabi SAW:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” [Riwayat Abu Daud (1664)]

Syeikh Syams al-Haq al-'Azim Abadi menukilkan kenyataan Al-Qadhi ‘Iyadh yang menyebut: “Ketika Rasulullah SAW menjelaskan kepada para sahabatnya bahawa mereka tidak berdosa untuk mengumpulkan harta selagimana mereka menunaikan zakat, Baginda melihat perlunya memberi khabar gembira kepada mereka dengan menganjurkan kepada apa yang lebih baik dan lebih kekal iaitu isteri yang solehah yang cantik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 5/56-57)

Justeru, wanita solehah kebanyakannya berkaitan dengan isteri, iaitu diambil dari sudut ‘اعتبار ما يكون’ (iktibar pada masa akan datang), anak-anak yang soleh dan solehah, seterusnya menjadi wanita yang solehah dan akhirnya isteri yang solehah. Apabila disebut isteri yang solehah maka ia termasuk dalam perkara kebahagiaan dalam hidup.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah R.A, Nabi SAW menyebut:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ
“Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah –selepas takwanya kepada Allah SWT– lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya.” [Riwayat Ibn Majah (1857)]

Begitu juga Nabi SAW menyebut berkenaan empat perkara yang menjadi kebahagiaan seseorang lelaki, iaitu:

اَلْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيُّ
“Wanita (isteri) yang solehah, tempat tinggal yang luas/lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa.” [Riwayat Ibn Hibban (4031) dan Ahmad (1448)]

Justeru, itulah yang disebut sebagai pengertian wanita yang solehah sepertimana terangkum dalam nas-nas yang dinyatakan di atas.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

Semoga Allah SWT mengurniakan taufiq dan hidayah dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Oh! Media