Berang sup tak sedap, suami ikat isteri macam anjing & dibiar kelaparan selama 3 hari


Tergamak suami mengikat leher isterinya seperti anjing dan membiarkannya kelaparan hanya kerana lelaki itu tidak menyukai sup yang dimasak oleh mangsa, lapor Mirror

Lelaki berusia 40 tahun itu, dikenali sebagai Alexander menjelaskan dia bertindak sedemikian kerana mahu memberi pengajaran kepada isterinya. 

Mangsa, Angela, diikat dan dibiarkan kelaparan selama tiga hari tanpa makanan, air, malah tidak dibenarkan pergi ke tandas. 

Mahkamah diberitahu, Alexander mengikat leher mangsa dengan rantai besi yang kemudian ditambat pada salah satu perabot di bilik kediaman mereka di perkampungan Novokamenka, Ukraine. 

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada Disember 2017 selepas pasangan itu bertengkar. 

Alexander dihidangkan semangkuk sup untuk makan tengah hari dan sebaik saja meneguk sesudu sup itu, dia menjerit "Alangkah jijiknya!" kepada isterinya. 

Alexander kemudian memukul Angela dengan objek keras apabila mangsa mengadu yang dirinya didera. 

Kejadian itu terbongkar selepas saudara mangsa datang dan memecah masuk ke rumahnya, serta menemui mangsa dalam keadaan yang teruk dan menggigil. 

Polis dan ambulans kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian, namun Alexander telah melarikan diri sebelum berjaya ditangkap beberapa jam kemudian di mana suspek bersembunyi dalam garaj kira-kira 20 kilometer dari rumahnya. 

"Dia menjerit dan menengking saya hanya kerana masakan saya tak sedap," kata Angela. 

Namun, Angela percaya sup itu hanya dijadikan sebagai alasan untuk suspek menderanya selepas dia berhenti menghulurkan wang kepadanya. 

Alexander kemudian mengaku dan menjelaskan dia sebenarnya merancang untuk mengikat isterinya selama sembilan hari. 

Ekoran perbuatannya itu, Alexander dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun. 


Sumber : thereporter.my