60 Faedah Dan Hukum Dari Sebuah Hadith Ringkas


Soalan:
Saya pernah mendengar terdapat satu hadith yang ringkas, namun para ulama mampu mengeluarkan sehingga 60 hukum hakam dan faedah daripada hadith tersebut. Boleh nyatakan hadith tersebut dan hukum-hakam yang diistibatkan daripadanya?

Jawapan:
Hadith yang dimaksudkan ialah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ ‏ "‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏" نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏
Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang terbaik akhlaknya. Aku mempunyai seorang adik yang dipanggil Abu ‘Umair, yang aku rasa baru sahaja berhenti menyusu dengan ibunya. Setiap kali adikku itu dibawa kepada Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu ‘Umair, apa yang burung pipit kamu sedang lakukan (burung pipit belaan yang selalu dia bermain dengannya)?” Kadang-kala waktu solat tiba sedang Baginda masih di rumah kami, maka Baginda mengarahkan kami untuk menghamparkan tikar dibawahnya, dibersihkan dan direnjis air. Kemudian Baginda berdiri dan kami mengikut Baginda, dan solat di belakang Baginda. [Sahih al-Bukhari (6203)]

Terdapat juga riwayat lain yang menyebut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدْخُلُ عَلَيْنَا وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ فَمَاتَ فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا فَقَالَ ‏"‏ مَا شَأْنُهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا مَاتَ نُغَرُهُ فَقَالَ ‏"‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ
Nabi Muhammad SAW pernah datang melawat kami. Aku mempunyai seorang adik yang diberi kuniyah (gelaran) Abu ‘Umair yang mempunyai seekor burung pipit yang dia selalu bermain dengannya, namun ia telah mati. Maka suatu hari Baginda SAW datang berjumpa dengannya dan melihatnya bersedih, lalu Baginda SAW bertanya akan hal Abu ‘Umair, lalu dijawab: “Burung pipitnya telah mati.” Maka Baginda SAW bertanya kepadanya: “Wahai Abu ‘Umair, apa yang telah terjadi kepada burung pipit itu?” [Sunan Abi Daud (4969)]

Abu ‘Umair merupakan anak hasil perkahwinan antara Ummu Sulaim dengan Abu Tolhah R.’Anhum, dan beliau meninggal dunia sewaktu masih lagi kecil. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 3/170 dan 10/586)

Ibn al-Qaas -seorang faqih mazhab al-Syafi’e- telah menulis satu kitab yang berjudul Fawa’id Hadith Ibnu ‘Umair yang menghimpunkan lebih enam puluh istinbat hukum, hikmah dan sunnah Rasulullah SAW, antaranya kami kemukakan di bawah:

1- Sunnah berjalan menurut Nabi SAW ialah tidak berjalan dengan gaya takabbur dan meninggi diri, dan tidak terlalu lambat dan menunduk. Nabi SAW berjalan dengan sedikit menunduk seolah-olah sedang turun daripada bukit yang curam.
2- Ziarah itu merupakan satu sunnah.
3- Rukhsah untuk menziarahi wanita yang bukan mahram.
4- Ziarah pemimpin kepada rakyatnya.
5- Harus bagi seorang pemimpin untuk mengkhususkan ziarah kepada sebahagian rakyatnya, dan ia tidak boleh dianggap sebagai berat sebelah (bias), meskipun sebahagian ulama memakruhkan perbuatan ini.
6- Menunjukkan sikap tawadhu seorang pemimpin dengan rakyatnya.
7- Hadith ini juga menjadi dalil makruhnya meletakkan penghalang antara pemimpin dengan rakyat.
8- Keharusan seorang pemimpin untuk berjalan seorang diri.
9- Hadith ini menunjukkan kekerapan ziarah Nabi SAW kepada keluarga Anas bin Malik R.A
10- Kekerapan ziarah pada kebiasannya tidak membuahkan kasih-sayang, kecuali apabila disertakan dengan keinginan yang bersungguh-sungguh. Ini berdasarkan kata-kata ‘Aisyah R.Anha:
زر غبا تزدد حبا
“Ziarahlah dengan kadar yang tidak terlalu kerap, nescaya kasih-sayang antara kamu akan bertambah.”




11- Anjuran untuk berinteraksi dengan orang ramai. Adapun hadith yang menyuruh agar kita menjauhi interaksi dan pergaulan dengan dengan orang ramai, maka ia terkecuali jika dengan perbuatan itu kita dapat merapatkan ukhuwwah dan membina kasih sayang sesama orang Islam.
12- Anjuran untuk bersalam dengan tetamu yang datang berziarah.
13- Dalil keharusan bagi tetamu untuk solat di rumah tuan punya rumah.
14- Hukum asal sesuatu adalah suci sehinggalah diyakini adanya najis, dimana Nabi dan sahabat Baginda SAW menggunakan tikar yang didapati untuk solat tanpa menyucikannya terlebih dahulu.
15- Harus bagi pemilik ilmu untuk mendatangi penimba ilmu, dengan syarat keadaan itu tidak menyebabkan kehinaan kepada ilmu itu sendiri.
16- Solat Nabi SAW di rumah keluarga Abi Tolhah menjadi dalil akan keistimewaan keluarganya tersebut.
17- Keharusan bergurau-senda dengan kanak-kanak.
18- Gurauan Nabi SAW dengan kanak-kanak juga menjadi dalil perintah supaya meninggalkan sifat takabbur dan meninggi diri.
19- Hadith ini juga menjadi dalil akan ketinggian dan kemuliaan akhlak Nabi SAW.
20- Keharusan bagi seorang mu’min untuk memiliki dua personaliti berbeza di ruang awam dan di ruang peribadi, di mana sikap di ruang awam adalah lebih tenang, manakala di rumah pula lebih banyak gurau-senda.
21- Sikap ini pula tidak menafikan perintah untuk kita menjauhi sifat munafiq.
22- Anjuran untuk kita bertanya khabar berkenaan saudara kita apabila kita bertemu dengannya.
23- Hadith ini juga menjadi dalil akan tsabitnya khabar ahad, di mana Nabi SAW bergantung kepada jawapan daripada satu pihak kepada soalan Baginda.
24- Diharuskan untuk memberi kuniyah (gelaran ‘Abu’ atau ‘Ummu’) kepada kanak-kanak yang belum mempunyai anak.
25- Harus untuk membelanjakan harta untuk membeli permainan kanak-kanak, selagimana ia bukan daripada perkara yang diharamkan.
26- Dalil keharusan untuk meletakkan burung di dalam sangkar.
27- Dalil akan keharuskan memberi lafaz ‘tasghir’ dalam penamaan.
28- Seorang yang bijak mestilah bermuamalah dan berinteraksi dengan orang ramai menurut kadar akal dan pemikiran mereka.
29- Dalil akan sunatnya qailulah (tidur sebentar sebelum Zohor).
30- Hadith ini menafikan pandangan sesetengah pihak yang menyatakan perbuatan seorang pemimpin yang tidur di rumah rakyatnya akan menyebabkan jatuhnya maruah pemimpin tersebut.
31- Harus untuk menikmati nikmat pemberian Allah SWT, dan ia tidak menyanggi sunnah.
32- Duduknya Nabi SAW di atas tikar dan tilam menunjukkan penghormatan yang tinggi kepada tetamu yang datang berziarah.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani juga menyatakan bahawa gurauan Nabi SAW bersama Abu ‘Umair ini juga sebagai satu bentuk perbuatan baik Baginda dengan khadam Baginda iaitu Anas bin Malik R.A. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 10/586)

Selain itu, hadith ini juga menjadi dalil bagi Imam Abu Hanifah yang berpandangan bahawa berburu di Madinah ketika dalam keadaan ihram tidaklah diharamkan. Namun mazhab yang mengharamkannya memberikan jawapan dengan dua kemungkinan: sama ada hadith ini berlaku sebelum penetapan Madinah sebagai kawasan haram berburu ketika ihram, atau haiwan itu diburu dan ditangkap di luar kawasan haram. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 9/134)

Kami nukilkan sebahagian sahaja faedah yang didapati daripada hadith ini kerana kekurangan waktu dan kesempatan.

Kesimpulan

Tuntasnya, banyaknya faedah dan hikmah yang diperoleh daripada hadith yang ringkas ini membenarkan sabda Baginda SAW:

بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِمِ
“Aku diutuskan oleh Allah SWT sebagai seorang yang mampu menuturkan makna yang paling luas dengan lafaz yang paling ringkas.” [Sahih al-Bukhari (2977) dan Sahih Muslim (523)]

Ia juga menzahirkan kecerdasan akal dan kehebatan para ulama dalam mengambil manfaat dan mengeluarkan hukum-hakam daripada satu hadith. Lantaran itu, wajib bagi kita melahirkan setinggi-tinggi penghormatan ke atas mereka, mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka dan berazam untuk mencontohi usaha mereka dalam berkhidmat kepada ilmu.

Wallahu a’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media