MELAKA – Satu rakaman video ‘pergaduhan’ membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dengan seorang pengayuh beca tular dalam laman sosial malam ini.
Video berdurasi 1 minit 35 saat itu dikatakan berlaku di hadapan Menara Taming Sari di Banda Hilir di sini ketika Norhizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri melawat kawasan tersebut.
Sewaktu berbincang dengan beberapa peniaga di kawasan itu, berlaku ‘pergaduhan’ antara Norhizam dengan perakam video tersebut sebelum wakil rakyat itu terpaksa ditenteramkan oleh orang ramai.
Norhizam dalam satu kenyataan malam ini menjelaskan beliau pergi ke Menara Taming Sari pada pukul 7.10 malam tadi kerana dijemput seorang wakil peniaga untuk membincangkan permasalahan di kawasan itu.
“Sewaktu berbincang, saya memaklumkan untuk mengadakan kursus kepada pengayuh beca supaya mereka boleh memberi imej yang terbaik kepada mutu pelancongan negeri tetapi seorang daripada mereka yang merakamkan video itu cuba melakukan provokasi terhadap saya.
“Saya percaya individu itu sengaja berbuat demikian kerana rakaman tersebut cuba memaparkan seolah-olah saya memandang rendah para pengayuh beca di negeri ini sedangkan saya datang ke situ untuk mendengar dan menyelesaikan masalah di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan tersebut malam ini.
Berikutan kejadian itu, Norhizam membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir di sini malam ini supaya penularan rakaman video tersebut tidak menjejaskan imej kerajaan negeri dan kempen Tahun Melawat Melaka 2019. – UTUSAN ONLINE
Sumber: cempedakcheese.com