UMNO sila berhati-hati dengan Pas – Saifuddin

PUTRAJAYA – UMNO dinasihatkan agar berhati-hati dengan setiap janji Pas terutamanya ketika dua-dua parti tersebut dipercayai sedang merancang untuk menggunakan satu logo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apa yang dinyatakan oleh Pas itu belum tentu sah dan betul namun, sekiranya gabungan itu berlaku ia merupakan satu perkara yang menarik.

“Sekiranya gabungan itu berlaku, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada UMNO dan Pas. Saya sangat mengalu-alukannya, ini perkembangan yang sihat dan jika Malaysia mahu bergerak ke arah sistem dua parti, ini adalah permulaannya.

“Masa masih panjang dan selamat maju jaya, cuma peringatan ingin diberikan kepada UMNO untuk berhati hati. Dia (Pas) dengar boleh tapi percaya kena tapis dahulu, Kalau dia bohong, tanya ini bohong yang tak boleh atau patuh syariah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, gabungan antara UMNO dan Pas untuk menggunakan satu logo tidak sedikit pun mencemaskan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan datang.

“Saya tidak beranggapan gabungan UMNO dan Pas akana mencemaskan PH, kerana suasana dan keputusan PRU dengan PRK tidak sama dan berubah-ubah. Kami sudah lalui pengalaman ini selama lebih 20 tahun.

“Sebagai contoh saya menang pada November 2000 dalam PRK Lunas dengan majoriti lebih 500, sebelum itu pada November 1999, Barisan Alternatif kalah dengan majoriti lebih 7,000. Tetapi pada PRU 2004, kalah dah lingkup semua. ‘Mood’ PRU dengan PRK tidak sama, ia berubah,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan melalui satu rakaman video yang menjawab soalan adakah UMNO-Pas akan menggunakan satu logo berkata, perkara itu akan dibincangkan pada Selasa ini oleh jawatankuasa perunding antara Pas dan UMNO.

Menerusi video berkenaan, beliau berkata atas arahan parti pihaknya sudah pun menulis surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa perunding antara kedua dua parti berkenaan.

Sebelum ini, biarpun Pas tidak bertanding dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih, parti itu dilihat sering bekerjasama dengan UMNO bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN dan kerjasama itu dijangka berterusan di PRK DUN Rantau.-UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com