Syukur terpaksa bermalam di HSNZ, dijangka keluar esok

KUALA TERENGGANU – ‘Budak kerbau’, Mohd Syukur Khamis, 14, dikehendaki bermalam di wad untuk membolehkan doktor membuat pemantauan terhadap kesihatannya.

Dia yang juga dikenali ‘Mowgli Malaysia’, dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), 11.30 malam ini.

Bagaimanapun, sumber memberitahu, remaja itu mungkin dibenarkan keluar esok.

Mohd Syukur sebelum itu menjalani prosedur imbasan kepala di Wad Kecemasan HSNZ selepas terjatuh ketika melompat dari belakang seekor kerbau untuk ke seekor kerbau lagi, jam 8 pagi semalam.

Abangnya, Mohd Alias Khamis berkata, selepas terjatuh, adiknya itu mengadu pening kepala sebelum termuntah.

“Dia jatuh ketika sedang menjalani sesi fotografi bersama jurugambar dari Pulau Pinang, mungkin belakang kerbau itu licin.

“Selepas itu dia mengadu pening dan saya suruh dia berehat. Petang tadi (semalam) dia sempat mengikut saya keluar ke bandar raya Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun ketika hampir Maghrib tadi dia muntah lagi dan kami sekeluarga ambil keputusan menghantarnya ke HSNZ untuk membuat pemeriksaan,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com