Sultan Johor mahu buka pasar raya dengan harga murah

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, merancang menjalin kerjasama strategik dengan sebuah pasar raya besar untuk beroperasi di Johor.

Dalam entri terbaharu di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda bertitah pasar raya berkenaan akan menjual barang keperluan pada harga lebih rendah.

“Pasar raya ini memberi jaminan bahawa mereka boleh menjual barang pada kadar 10 peratus lebih rendah, pada masa sama turut memberi jaminan pada kualitinya.

“Ini akan memudahkan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan barang keperluan asas dan harian pada harga yang murah,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, pengumuman lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan baginda dalam tempoh terdekat.

Menurut kenyataan di laman rasmi Facebook itu, Sultan Ibrahim kini berada di Asia Barat atas lawatan peribadi, turut memikirkan mengenai keperluan rakyatnya.



Sumber: cempedakcheese.com